Suspek (dalam bulatan) melarikan diri dengan memanjat bumbung selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan. -Foto Istimewa/Detik
SEORANG pemuda berusia 28 tahun yang disyaki mencabul kanak-kanak perempuan bawah umur bertindak memanjat bumbung sebuah rumah dalam cubaan melarikan diri daripada ditangkap. Kejadian dilaporkan berlaku di Kabupaten Pinrang, Sulawesi Selatan. Ketua Polis Sektor (Kapolsek) Paleteang, Iptu Syamsul Kahar berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai masalah mental. "Kami sudah membuat pengesahan dengan Puskesmas (Pusat Kesihatan Masyarakat) Sulili bahawa suspek sememangnya merupakan pesakit gangguan jiwa di pusat kesihatan berkenaan," katanya.Menurut Syamsul, lelaki terbabit disahkan masih mengambil ubat secara berkala bagi merawat penyakitnya.Bagaimanapun, suspek turut mempunyai tabiat menghidu gam, ujarnya.Tambah Syamsul, tindakan awal berhubung kejadian itu dikendalikan oleh Balai Polis Paleteang sebelum laporan rasmi kes berkenaan diserahkan kepada Unit Perlindungan Perempuan dan Kanak-kanak (PPA) Polis Resort Pinrang untuk tindakan undang-undang selanjutnya.Mengulas lanjut mengenai kejadian yang berlaku pada 27 Oktober lalu, Syamsul berkata suspek dipercayai menceroboh masuk ke rumah mangsa di Kelurahan Temmasarangnge, daerah Paleteang, kira-kira pukul 8.30 pagi.Suspek kemudian menarik mangsa sebelum menghempap tubuh kanak-kanak perempuan itu dalam keadaan berbogel.Keluarga mangsa yang menyedari kejadian bertindak mengejar suspek sehingga menyebabkannya melarikan diri ke atas bumbung sebuah rumah.Polis yang tiba di lokasi selepas menerima panggilan mengambil masa kira-kira satu jam untuk menurunkan suspek, selepas usaha memujuk oleh ibunya tidak membuahkan hasil.Selepas berjaya dibawa turun, suspek segera dibawa ke balai polis bagi mengelakkan dirinya daripada menjadi sasaran amukan orang ramai yang berang dengan kejadian tersebut. -Agensi