suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Syafiq Kyle akui bukan mudah jual filem ‘berat‘, harap ‘Baga‘ laris di panggung

Syafiq percaya media sosial memainkan peranan penting dalam mempromosikan sesebuah karya.

BUKAN mudah memasarkan filem yang mengangkat isu berat seperti penyalahgunaan dadah. Namun, pelakon dan penerbit, Syafiq Kyle percaya kekuatan cerita mampu menarik penonton untuk menyaksikan Baga: Esok Untuk Siapa.

Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 34, berkata, dia berharap promosi daripada perbualan ramai dapat membantu menarik lebih ramai penonton selepas mereka menonton filem arahan Ariff Zulkarnain itu.

“Memang susah hendak menjual filem seperti ini. Tetapi saya percaya apabila orang sudah menonton karya Ariff, kekuatan promosi dari mulut ke mulut akan membantu menarik lebih ramai penonton.

“Tambahan pula, media sosial sekarang mempunyai pengaruh yang besar dalam mempromosikan sesebuah karya,” katanya kepada media. 

Syafiq percaya kemampuan pengarah filem 'Baga' dapat menyampaikan mesej dengan baik.

Mengulas mengenai kekuatan filem tersebut, Syafiq menyifatkan Ariff Zulkarnain seorang pengarah yang bijak menyampaikan isu penting menerusi penceritaan yang mampu menyentuh hati.

“Kalau kita mengenali Ariff, kita akan faham mengapa orang suka menonton karya arahannya. Bagi saya, dia ibarat penembak tepat kerana setiap karyanya tepat mengenai isu yang mahu disampaikan.

“Mungkin daripada luar, Baga kelihatan seperti filem mengenai dadah, tetapi sebenarnya ia berkisar tentang kesempitan hidup, keputusan yang dibuat seseorang dan tema utamanya adalah cinta.

“Sebagai pembikin filem, saya percaya Ariff sudah memikirkan bagaimana mahu mempersembahkan cerita ini supaya mampu menarik perhatian penonton,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ariff Zulkarnain tunggu dua tahun lulus LPF, filem ‘Baga‘ bukan rai gejala dadah

ARTIKEL BERKAITAN: Amir Ahnaf trauma jadi penagih dadah dalam Baga, takut duduk sendiri hingga ajak adik-beradik teman selepas penggambaran

Menurut Syafiq, isu yang diketengahkan dalam sesebuah filem juga mampu menjadi faktor awal yang mendorong penonton untuk mengetahui lebih lanjut mengenai jalan cerita.

“Kalau kita fikirkan, apakah antara elemen yang boleh menarik perhatian penonton untuk menonton filem? Mungkin isu dadah, pembunuh bersiri, rompakan atau rasuah.

“Semua itu boleh menjadi tarikan awal. Saya rasa Ariff sangat bijak dalam membungkus cerita ini supaya mampu mencetuskan rasa ingin tahu penonton.

“Sejak awal lagi, filem ini sudah menarik perhatian Lembaga Penapis Filem (LPF) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Jadi, saya berharap ia juga mampu mencetuskan minat penonton untuk mengetahui kisah sebenar yang mahu disampaikan,” jelasnya.

Baga: Esok Untuk Siapa ditayangkan di pawagam bermula 5 November ini.

Dalam masa sama, Syafiq berharap penonton tidak hanya melihat Baga sebagai sebuah filem mengenai penyalahgunaan dadah, sebaliknya mampu memahami mesej lebih mendalam yang cuba disampaikan menerusi karya berkenaan.

Filem Baga: Esok Untuk Siapa turut menampilkan gandingan pertama Amir Ahnaf bersama Amirah Razak yang membawakan watak Melur sebagai teraju utama.

Naskhah terbitan Indigo Films bergenre jenayah itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November ini.

Filem ini menjalani penggambaran di Terengganu dan mengisahkan Jani serta Melur, sepasang kekasih muda yang terperangkap antara realiti kehidupan dengan impian untuk mengubah nasib mereka.

Artikel Lain