SEORANG lelaki akhirnya ditahan polis selepas lima hari diburu susulan kes pembunuhan sepupunya pada 25 Oktober lalu.Kejadian dilaporkan berlaku di Bandar Lampung, Indonesia, sekitar pukul 9 hingga 10 pagi. Berdasarkan laporan, tindakannya itu disebabkan rasa geram kerana dia sering disuruh serta dikerah oleh mangsa, Lilis Pitriani, yang berusia 29 tahun.Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Bandar Lampung, Regan Kusuma Wardani berkata, kejadian berlaku ketika wanita itu meminta suspek berusia 25 tahun menghantarnya ke Pasar Cimang.Suspek yang sudah lama memendam rasa berang berpura-pura menyatakan tayar motosikal mereka pancit.Sebaik sahaja mangsa turun untuk memeriksa kenderaan, suspek bertindak melancarkan serangan menggunakan kayu."Suspek mendakwa berasa geram kerana mangsa sering meminta bantuannya untuk menghantar dan melakukan pelbagai urusan," katanya.Tambah Regan, pihaknya percaya dua batang kayu digunakan dalam serangan tersebut, berikutan pemeriksaan forensik menemukan kecederaan pada kepala dan leher mangsa.Selepas serangan itu, suspek didakwa mengikat tubuh mangsa menggunakan tali plastik sebelum menyeretnya ke sebuah pembetung dan menyembunyikan mayat mangsa dengan menutupnya menggunakan kayu serta objek berat.Keluarga yang bimbang dengan kehilangan mangsa kemudiannya bertindak mencari dan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran kediaman wanita tersebut.Malah katanya, hasil rakaman menunjukkan mangsa membonceng motosikal bersama seorang lelaki yang dikenal pasti sebagai suspek.Pencarian akhirnya membawa kepada penemuan mayat Lilis di sebuah pembetung di Kupang Teba, Teluk Betung Utara, pada malam 27 Oktober.Suspek yang melarikan diri selepas penemuan mayat berkenaan ditahan di rumah saudaranya di Way Galih, Lampung Selatan, pada Ahad lalu. -Agensi