MUSIM pilihan raya bukan sahaja menyaksikan persaingan manifesto antara parti politik dan calon bertanding, malah turut dihiasi pelbagai kisah menarik sehingga mencuri perhatian masyarakat.Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, calon parti Bersama bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Muhammad Saffie Md Yasan, 53, mendedahkan sehelai baju miliknya dicuri dari ampaian kediaman keluarganya di Kampung Serkam pada Ahad. "Saya basuh baju dan sidai depan rumah. Biasalah rumah kampung tak ada pagar. Mak saya nampak orang tu ambil baju saya di ampaian. Mak tak sempat nak cam muka pelaku."Dia kata pelaku seorang lelaki muda yang tinggi, berkulit cerah dan menunggang sebuah motosikal. Mungkin pelaku berminat dengan baju parti Bersama."Baju parti kami dah habis diedarkan sejak hari pertama. Memang ramai orang tanya untuk dapatkan baju itu," ujarnya ketika dihubungi mStar.Muhammad Saffie enggan bersangka buruk dengan kejadian yang menimpa dirinya.Menurut Muhammad Saffie, dia seboleh-bolehnya enggan bersangka buruk, namun tidak menolak kemungkinan ada pihak yang mahu melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya."Biasalah, di kampung ada cara halus, ada cara kasar. Tapi kebetulan pagi Isnin, ada masalah melanda keluarga saya. Ayah saya muntah-muntah dan cirit birit."Ibu saya juga lemah-lemah badan sampai tak boleh bawa kereta. Saya juga alami cirit-birit. Tapi mungkin keracunan makanan kot. Keadaan saya pun dah okey."Nak bersangka buruk pun tak boleh, mungkin kebetulan. Tapi mungkin juga ada orang dengki. Kita ni parti baharu, tapi ada potensi. Tak tahulah," katanya lagi.Muhammad Saffie turut berkongsi kisah kehilangan baju miliknya menerusi akaun Facebook.Muhammad Saffie berdepan pertarungan tiga penjuru dalam PRN Melaka 14 November depan.Berkongsi mengenai PRN Melaka, Muhammad Saffie berkata dia mempunyai tujuh akujanji dengan visi untuk membina masyarakat yang holistik, progresif dan sejahtera.Antaranya, dia merancang pembangunan satu aplikasi khas bagi memudahkan penduduk setempat memantau perkembangan aduan yang dibuat oleh mereka.Bekas penjawat awam itu turut menggariskan beberapa agenda merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, belia dan wanita dalam akujanji berkenaan.Muhammad Saffie bakal berdepan pertarungan tiga penjuru dengan calon BN-Umno, Datuk Azman Abdullah dan Muhammad Faiq Azman daripada PH-PKR dalam PRN Melaka pada 14 November depan.