suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Syarikat serantau mula serius amalkan langkah kelestarian bermakna

Asia ESG PIA merupakan inisiatif di bawah Asia ESG Positive Impact Consortium yang menggabungkan tiga gergasi media utama di rantau Asia Tenggara.

AMALAN Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kini semakin berkembang di rantau ini apabila mula dijadikan sebagai sebahagian daripada teras model perniagaan syarikat, dan bukan lagi sekadar aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata.

Peralihan positif itu menjadi pemerhatian utama barisan panel juri edisi kedua Asia ESG Positive Impact Awards (PIA) 2026, iaitu anugerah serantau yang mengiktiraf syarikat-syarikat terkemuka dengan amalan ESG terbaik.

Asia ESG PIA merupakan inisiatif di bawah Asia ESG Positive Impact Consortium yang menggabungkan tiga gergasi media utama iaitu Star Media Group dari Malaysia, Inquirer Group of Companies (Filipina) dan Media Group of Kompas Gramedia (Indonesia).

Tahun ini, sebanyak 52 pemenang emas daripada anugerah ESG peringkat kebangsaan terdiri daripada ESG Positive Impact Awards anjuran Star Media Group, ESG Edge Impact Awards (Inquirer Group of Companies) dan Lestari Awards (Media Group of Kompas Gramedia) dengan kesemuanya berjaya melangkah ke pentas serantau.

Kesemua penyertaan dibahagikan kepada kategori syarikat besar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat pertengahan dinilai lapan panel juri antarabangsa pada September lalu.

Presiden merangkap Ketua Saintis Center for Conservation Innovations, Dr Neil Aldrin Mallari berkata, beliau mempunyai harapan tinggi terhadap peralihan ke arah usaha kelestarian lebih bermakna selepas meneliti penyertaan dalam kategori pemuliharaan biodiversiti, pengurusan sisa dan transformasi korporat.

"Penyertaan terbaik yang saya teliti bukan sekadar projek CSR semata-mata. Sebaliknya, ia adalah bukti konsep yang menunjukkan penjagaan alam sekitar mampu diterapkan terus ke dalam cara sesebuah perniagaan itu beroperasi.

"Paling membanggakan, inisiatif tersebut hadir dengan pelan jangka panjang meyakinkan untuk terus berkembang. Perbezaan ini sangat penting bagi saya.

"Aktiviti CSR boleh terhenti apabila kitaran bajet tamat, namun inisiatif dibina dalam tadbir urus dan budaya kerja lazimnya akan bertahan lebih lama walaupun selepas eksekutif yang memulakannya tiada lagi.

"Inilah perbezaan antara sekadar memberi sumbangan dengan membina model perniagaan," katanya.

Bagi Ketua Unit ESG Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Haris Abdul Latiff, penyertaan paling menonjol adalah melibatkan organisasi yang berjaya memanfaatkan keupayaan, teknologi atau model perniagaan mereka sendiri bagi mencipta impak yang berpotensi dikekal dan diperluaskan.

"Beberapa inisiatif berjaya menghubungkan komuniti luar bandar dengan pasaran eksport, menerapkan elemen keterangkuman ke dalam platform digital, menukar aset terbiar kepada aktiviti rendah karbon produktif, atau mewujudkan laluan berstruktur bagi golongan rentan untuk turut serta dalam ekonomi," ujarnya.

Tambah beliau, bagi meningkatkan prestasi ESG sesebuah organisasi, penekanan lebih besar perlu diberikan terhadap pengukuran hasil jangka panjang, penggunaan data boleh dipercayai dan sekiranya boleh melaksanakan proses pengesahan bebas.

"Kini, adalah semakin penting untuk membuktikan bukan sahaja apa yang dilaksanakan atau berapa ramai yang terlibat, tetapi apakah perubahan bermakna yang berlaku dari semasa ke semasa dan sama ada manfaat tersebut mampu bertahan selepas tempoh program asal tamat," jelasnya.

Senada dengan pandangan itu, Pengerusi Indonesian Society of Sustainability Professionals, Satrio Prakoso berkata, masih terdapat ruang untuk memperkukuh cara organisasi mengukur dan membuktikan hasil serta impak jangka panjang inisiatif mereka.

Bagaimanapun, beliau turut kagum dengan kematangan aspek sosial ESG yang semakin meningkat di seluruh Asia menerusi penyertaan yang diadilinya merangkumi kesejahteraan pekerja, kepelbagaian dan keterangkuman serta pembangunan bakat.

"Saya amat tertarik melihat bagaimana inisiatif sosial kini semakin dihubungkan dengan objektif alam sekitar. 

"Daripada menguruskan kedua-dua aspek ESG ini secara berasingan, organisasi mula mengambil kira gabungan impak tersebut terhadap pekerja, komuniti dan pihak berkepentingan lain," katanya.

Senarai pemenang terdiri daripada 12 kategori bakal diumum pada malam gala Asia ESG PIA yang akan berlangsung pada 4 November ini di Pusat Konvensyen KLGCC, Kuala Lumpur.

Menjelang pengumuman pemenang, satu sesi jaringan eksklusif pra-gala akan diadakan bagi menghimpunkan peserta anugerah dan peneraju kelestarian dari Malaysia, Filipina serta Indonesia untuk mengeratkan hubungan serantau dan berkongsi ilmu.

Selain itu, satu kelas induk atau masterclass secara praktikal bertajuk AI for Practical ESG Execution: Turning Data into Actionable Insights turut diadakan pada keesokan harinya.

Dikendalikan jurutera kecerdasan buatan (AI) dan ketua saintis data, Dr Lau Cher Han, para peserta akan mempelajari cara menggunakan kemudahan AI harian bagi mengautomasikan aliran kerja berkaitan ESG termasuk pengumpulan data, pembersihan, draf, semakan dan pelaporan.

Penyertaan dalam program ini boleh dituntut di bawah HRD Corp. Untuk pendaftaran, sila layari https://bit.ly/aem26_li.

Artikel Lain