MAHKAMAH Rayuan pada Selasa memerintahkan seorang remaja berusia 19 tahun ditempatkan ke Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun atas kesalahan melakukan persetubuhan haram dengan anak saudaranya sehingga mangsa melahirkan anak.Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kangar pada 13 Disember 2024 yang mengekalkan perintah khidmat masyarakat terhadap responden. Hayatul Akmal ketika membaca penghakiman berkenaan berkata, hukuman terdahulu tidak setimpal dengan keseriusan kesalahan dilakukan responden, malah Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengekalkan perintah berkenaan. Menurutnya, ketika kejadian yang berlaku antara 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi, 14 Oktober 2021, mangsa baharu berusia 12 tahun manakala responden yang juga bapa saudaranya berusia 14 tahun.ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas 71 tahun didakwa lakukan hubungan luar tabii, rogol anak bos dalam tandas pusat beli-belahMangsa yang sedang tidur di rumah neneknya di Kuala Perlis, tidak menyedari kejadian berkenaan dan apabila terjaga, dia mendapati terdapat kesan cecair berlendir pada bahagian kakinya. "Ibu mangsa membawa mangsa ke poliklinik pada 12 Mei 2022 selepas mendapati perut mangsa kelihatan membesar. "Pemeriksaan mengesahkan mangsa mengandung lapan bulan ketika itu selain laporan kimia mengesahkan responden adalah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa," kata Hayatul Akmal.Tambahnya, keseriusan kesalahan itu tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan usia responden sebagai pesalah kanak-kanak, sebaliknya perlu mengambil kira usia mangsa, hubungan kekeluargaan serta akibat langsung perbuatan berkenaan.Ujarnya, pengakuan salah responden juga tidak boleh dijadikan faktor utama dalam menentukan perintah yang sesuai, sebaliknya fakta kes dan keseriusan kesalahan perlu turut dipertimbangkan.Justeru tegasnya, perintah khidmat masyarakat selama 120 jam tidak menggambarkan dengan secukupnya keseriusan kesalahan yang dilakukan. "Mahkamah memerintahkan responden ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun mengikut Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001, berkuat kuasa hari ini," katanya.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom, manakala responden diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail.