suria

Jiran pengasuh tahan tengah jalan, kongsi audio budak menangis tanpa henti... Suara dalam rakaman buat hati si ibu hancur!

Sikap jiran yang prihatin dengan keadaan sekeliling dapat menyelamatkan banyak perkara tidak baik. -Gambar hiasan AI

TAWAKAL dan berserah menjadi pegangan setiap kali menghantar anak ke rumah pengasuh, dengan harapan si kecil dijaga sebaiknya sementara ibu bapa keluar mencari rezeki.

Namun bagi seorang wanita, hatinya bagai dirobek selepas mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di rumah pengasuh ketika dia tiada di sisi anaknya.

Menurut wanita itu, segalanya terbongkar apabila seorang jiran kepada pengasuh berkenaan bertindak menahan keretanya untuk bertukar nombor telefon.

Seorang pengasuh perlu menjalankan amanah diberikan dengan baik. -Gambar hiasan AI

"Dulu anak saya dijaga pengasuh. Pada satu hari tu jiran pengasuh tahan kereta saya dan minta saya hubungi dia melalui WhatsApp.

"Rupanya dia kesian dengar anak saya melalak setiap hari tanpa dipujuk. Jadi dia ambil keputusan untuk beritahu saya," kongsinya di Threads.

Lebih mengejutkan, jiran tersebut turut memberikan rakaman video dan audio yang jelas kedengaran suara anaknya menangis tanpa henti bersama suara beberapa kanak-kanak lain di rumah tersebut.

Menurut wanita itu lagi, dia sendiri tidak sanggup mendengar rakaman tersebut kerana tangisan anaknya yang didakwa berlarutan sehingga kira-kira 40 minit tanpa dipujuk.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa nak tercabut jantung” - Ibu cerita detik-detik terlupa hantar bayi ke rumah pengasuh, mohon jangan hakimi

ARTIKEL BERKAITAN: Hujung minggu, kemudian cuti umum 2 hari... Ibu berkarier ada ‘hujah’ sendiri tetap hantar anak kepada pengasuh

"Memang tak sanggup nak dengar dia menangis. Dengar sangat jelas suara anak saya dalam video dan audio tu. Suara budak lain pun ada sekali.

"Esoknya suami saya terus berhentikan anak kami daripada dijaga pengasuh tu. Sekarang anak dihantar ke taska," katanya.

Dia turut meluahkan rasa sedih kerana bagi ibu bapa yang bekerja, pengasuh merupakan individu yang paling diharapkan untuk menjaga kebajikan anak.

"Kita amanahkan anak dekat orang lain, dengan harapan anak tu dihantar baik, diambil baik. Macam mana boleh khianat amanah tu? Baby menangis tu normal. 

  • Wanita kongsi jiran pengasuh hubungi melalui WhatsApp dedah segalanya.
  • Jiran berkenaan berkongsi video serta audio anaknya menangis tanpa dipujuk.
  • Tangisan bayi itu didakwa berlarutan sehingga kira-kira 40 minit.
  • Suaminya terus menghentikan anak mereka daripada pengasuh keesokan hari.
  • Wanita itu berterima kasih kepada jiran kerana berani berkongsi bukti.
Ringkasan ini dijana oleh AI

"Yang tak normal bila dibiarkan tanpa dipujuk, lepas tu marah pula kenapa dia menangis. Dia kan baby, akal pun belum ada. Kita orang dewasa yang ada akal," katanya lagi.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang bersimpati dengan nasib bayi serta memuji tindakan jiran berkenaan kerana berani tampil memberi tahu perkara sebenar.

"Bagusnya jiran tu. Semoga dibalas baik juga untuk dia. Kita ni sebenarnya nak juga jaga sendiri anak-anak, tapi ada keperluan untuk bekerja. 

"Hanya mampu berdoa setiap kali hantar anak ke taska, pengasuh atau sekolah," tulis seorang netizen.

Artikel Lain