PEMILIK akaun Threads, Nurazean Abdul Talib bertindak menurunkan hantaran yang didakwa memfitnah pendakwah bebas dan selebriti, PU Riz daripada paparan umum.Nurazian turut memohon maaf andai cara penyampaian hantaran tersebut menyebabkan mana-mana pihak tersinggung atau salah faham terhadap maksud sebenar penulisannya. Bagaimanapun, Nurazian menegaskan tindakan itu bukan bermaksud dia bersetuju dan akur dengan dakwaan kononnya sudah memfitnah PU Riz atau menerima dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.Kenyataan rasmi daripada Nurazian yang dimuat naik di Threads."Walaupun saya mempertahankan hak untuk memberikan pandangan dan komentar yang sah mengenai perkara berkepentingan awam, saya juga menghormati hak setiap individu untuk menjaga maruah dan reputasi masing-masing."Sehubungan itu, sebagai tanda keikhlasan untuk meredakan keadaan dan mengelakkan pertikaian berpanjangan, saya telah mengambil langkah menarik hantaran berkenaan daripada paparan umum."Saya juga memohon maaf sekiranya cara penyampaian saya telah menyebabkan mana-mana pihak berasa tersinggung atau salah faham terhadap maksud sebenar penulisan tersebut," katanya.ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pemfitnah gelar suami Neelofa ‘penunggang‘ agama, PU Riz sudah hantar notis tuntutanARTIKEL BERKAITAN: [V] “Saya ada tauliah mengajar sejak 2020“ - PU Riz tersinggung kelayakan agama jadi pertikaianNurazean berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya pada Sabtu.Dalam pada itu, Nurazean turut menolak dakwaan bahawa hantaran berkenaan mengandungi unsur fitnah selain tidak bersetuju dengan tuntutan pampasan sebanyak RM1 juta yang dikemukakan pihak PU Riz.Menurutnya, hantaran tersebut sekadar pandangan dan komentar umum berhubung isu pengkomersialan agama, penggunaan populariti dalam aktiviti keagamaan serta kepentingan kelayakan dalam penyampaian ilmu agama.Nurazian sudah melantik peguam bagi mewakili dirinya."Saya mengambil langkah tersebut atas dasar tanggungjawab dan semangat perdamaian, bukannya kerana mengakui sebarang kesalahan. Saya tidak menerima dakwaan bahawa saya telah melakukan fitnah sebagaimana yang dituduh."Sehubungan itu, saya juga tidak bersetuju dengan tuntutan pampasan kewangan yang dikemukakan terhadap saya. Saya percaya bahawa perbezaan pandangan, khususnya mengenai perkara berkepentingan awam, seharusnya boleh dibincangkan secara matang tanpa semestinya berakhir dengan pertikaian undang-undang."Saya tidak menyebut nama mana-mana individu secara khusus dalam teks hantaran tersebut. Tujuan saya bukan untuk membuat tuduhan fakta yang tidak benar terhadap mana-mana individu atau sengaja mencemarkan reputasi sesiapa," jelasnya.Sementara itu, Nurazean memaklumkan sudah melantik peguam daripada Tetuan Arif Muazzim, Zawani & Co. bagi mendapatkan nasihat serta mewakilinya berhubung perkara tersebut.Nurazian berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.Katanya, pihak peguam akan mengemukakan jawapan rasmi terhadap Notis Tuntutan (LOD) yang diterima melalui saluran sewajarnya."Untuk melindungi hak dan kepentingan saya, saya telah melantik peguam Amar daripada Tetuan Arif Muazzim, Zawani & Co. bagi memberikan nasihat serta mewakili saya dalam perkara ini."Pihak peguam saya akan memberikan jawapan rasmi terhadap Notis Tuntutan tersebut melalui saluran yang sewajarnya."Sekiranya tindakan undang-undang tetap diteruskan, saya bersedia mempertahankan kedudukan saya melalui proses perundangan yang sah," katanya.Pada Jumaat, PU Riz atau Muhammad Haris Mohd Ismail, 31, mengambil tindakan undang-undang terhadap Nurazian susulan hantaran di Threads yang didakwa melabelkannya sebagai 'penunggang agama'.Tindakan itu diambil kerana dakwaan berkenaan disifatkan boleh menjejaskan reputasinya sebagai pendakwah yang mempunyai kelayakan akademik serta pentauliahan mengajar agama.Peguam yang mewakili PU Riz, Faizal Rahman memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) kepada Nurazean pada Khamis dengan memberikan tempoh 48 jam untuk memadam hantaran berkenaan, membuat permohonan maaf secara terbuka serta tidak lagi mengulangi dakwaan tersebut.Pihak PU Riz turut menuntut pampasan sebanyak RM1 juta sebagai pengajaran supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah menerusi media sosial.