TINDAKAN seorang lelaki menendang dan merosakkan cermin sisi sebuah kereta jenis Perodua Alza mengundang padah apabila dia direman selama tiga hari bermula Rabu.Kejadian dilaporkan berlaku di Bukit Segar, Cheras di Kuala Lumpur. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pelaku berusia lewat 30-an itu ditahan pada pukul 12.28 pagi Rabu selepas pihaknya menerima laporan mengenai insiden mematahkan cermin sisi sebuah kenderaan."Pihak polis menerima laporan pada pukul 8.40 malam Selasa mengenai posting video seorang individu mematahkan cermin sisi sebuah kereta yang dimuatnaik di TikTok oleh pemilik akaun @cyberjayaviral. "Kejadian berlaku di kawasan Cheras, Kuala Lumpur dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan/Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Muktimedia 1998," jelas beliau. Tambah Mohd Rosdi, motif kejadian disebabkan pelaku marah apabila pemilik kenderaan Alza didakwa menghalang laluannya untuk keluar parkir.Berdasarkan video tular, lelaki berbaju putih dan berseluar jeans biru yang menaiki Honda HRV pada awalnya cuba menarik cermin sisi kiri kereta Perodua Alza berkenaan.Namun selepas beberapa kali mencuba, dia kemudiannya menendang cermin sisi berkenaan dan berlalu pergi.Menerusi ruangan komen, kebanyakan netizen beranggapan lelaki terbabit berang selepas mengalami kesukaran untuk mengeluarkan kenderaan yang telah diparkir."Double park, memang patutlah kena."Alza double park HRV tapi tak tutup penuh (lot parkir HRV), masih ada ruang kecil untuk keluar... mungkin panas hati HRV tu," demikian reaksi netizen.