suria

Bekas pelajar gagal saman guru kes sorok iPhone dalam baju... Hakim yakin wujud cubaan meniru semasa peperiksaan

Pelajar dilarang meniru ketika menjawab peperiksaan di sekolah. -Gambar hiasan AI

TUNTUTAN saman bekas pelajar susulan menyembunyikan sebuah telefon pintar dalam pakaian dalamnya ketika peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) enam tahun lalu ditolak Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh memutuskan perkara itu selepas mendapati tindakan guru yang menjalankan pemeriksaan mengejut ketika peperiksaan itu adalah munasabah dan wajar.

Bekas pelajar yang kini berusia 23 tahun itu memfailkan saman melalui bapanya terhadap dua orang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sura, Dungun, Terengganu, pengetua sekolah, ketua pengarah pendidikan serta kerajaan Malaysia.

Dalam alasan penghakiman bertarikh 5 Mac lalu, Wan Nor Aklima menegaskan keseluruhan insiden itu berpunca daripada salah laku plaintif sendiri kerana membawa peranti tersebut ke dalam dewan peperiksaan.

Menurutnya, alasan plaintif menyimpan telefon itu di dalam pakaian dalam kerana bimbang ia hilang jika ditinggalkan di luar dewan tidak boleh diterima.

"Mengapa perlu letak di dalam pakaian dalam? Mengapa bukan di dalam poket baju? Pada hemat mahkamah, ini adalah sesuatu yang dirancang dan bukan tindakan spontan.

"Plaintif sudah melakukan pertimbangan yang lemah dan mengambil risiko besar dengan membawa telefon itu masuk ke dewan peperiksaan," katanya.

Mahkamah juga mendapati pemeriksaan dilakukan di dalam dewan tertutup dan hanya melibatkan guru wanita, selain tiada sebarang sentuhan fizikal tidak wajar berlaku.

Plaintif mendakwa dia dimalukan apabila pemeriksaan badan dilakukan di hadapan pelajar lain selain menuduh tindakan tersebut sebagai pemeriksaan tidak wajar, kecuaian dan fitnah yang menjejaskan reputasinya serta menyebabkan tekanan emosi.

Dia diperiksa ketika menduduki kertas bagi subjek Sains Rumah Tangga yang berlangsung pada 25 Oktober 2020.

Mahkamah dimaklumkan guru menjalankan pemeriksaan mengejut selepas menerima aduan daripada beberapa pelajar lain yang mengesyaki plaintif melakukan penipuan ketika menjawab kertas peperiksaan.

Hasil pemeriksaan tersebut menemukan sebuah telefon pintar iPhone 6 berwarna emas yang disembunyikan di dalam pakaian dalam pelajar berkenaan.

Telefon itu kemudiannya dirampas dan dijadikan bahan bukti kerana disyaki digunakan untuk meniru.

Pemeriksaan lanjut terhadap peranti tersebut turut menemukan nota serta bahan rujukan berkaitan peperiksaan percubaan, termasuk dokumen yang mempunyai kaitan dengan kertas peperiksaan yang sedang diduduki.

Susulan penemuan itu, pihak sekolah memberikan markah satu peratus bagi beberapa subjek dalam peperiksaan percubaan berkenaan selaras dengan peraturan peperiksaan sekolah.

Sementara itu, mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM10,000 kepada defendan.

Difahamkan, plaintif telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding tersebut, plaintif diwakili peguam Hisyam Yusof, manakala Nik Rabi'atul Adawiyah Soupy dan Muhammad Faizuan Khalid daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu mewakili pihak defendan.

Artikel Lain