suria

RON95 kekal RM1.99, bekalan minyak boleh bertahan hingga Mei 2026

Anwar mengumumkan bekalan minyak Malaysia mencukupi sehingga Mei.

BEKALAN minyak negara masih terkawal sungguhkan Asia Barat dilanda konflik.

Susulan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju agar bahan api RON95 kekal pada harga subsidi RM1.99 seliter.

"Konflik ini amat membimbangkan, ia memberi kesan terhadap ekonomi dunia, Asia termasuk Malaysia.

"Lebih parah, adalah gangguan bekalan minyak dan gas yang selalunya melalui Selat Hormus. 

"Tapi Alhamdulillah berkat pengurusan (syarikat minyak negara) Petronas, kita dapat menjamin bekalan minyak yang cukup dan dapat kekalkan harga RM1.99 bagi Budi Madani RON95," ujarnya.

Anwar berkata demikian menerusi sidang media khas Perdana Menteri pada Rabu.

Tambah Anwar, hasil semakan dengan syarikat Petronas mendapati, bekalan minyak negara mencukupi hingga Mei 2026.

"Keterjaminan bekalan minyak masih terkawal, itu membanggakan kerana apabila kita semak dengan Petronas, kita dapati bekalan produk Petroleum mencukupi sehingga Mei 2026.

"Ini berbeza dengan keadaan di negara lain, sebab itu saya tekankan isu tatakelola, cekap amanah dan profesional," tambah beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut memutuskan, kesemua agensi kerajaan, GLC dan GLIC tidak menganjurkan perayaan rumah terbuka Aidilfitri.

Jelas beliau, tindakan itu sebagai mesej supaya kerajaan dapat lebih berjimat dan perbelanjaan terkawal.

"Menteri dan jabatan juga perlu hadkan lawatan atau kunjungan ke luar negara melainkan memang dalam jadual yang wajib dihadiri," tegas beliau yang mahu memberi fokus pada kebajikan dan kepentingan rakyat.

Artikel Lain