Aliff hadir bersama ibu dan adiknya hadir ke Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam pada Khamis untuk membuat pengisytiharan taubat.
SEORANG pemuda yang pernah tular berhubung tindakan melakukan ritual keagamaan lain di sebuah kuil tampil membuat pengisytiharan taubat dan lafaz dua kalimah syahadah secara terbuka pada petang Khamis. Aliff Daniel Adli, 21, yang hadir mengenakan baju Melayu berwarna hijau dan bersongkok membuat lafaz itu pada Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Auditorium Dahlia, Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam. "Saya Aliff Daniel Adli, sesungguhnya membuat pengisytiharan (taubat) ini dengan suci hati dan penuh keinsafan dan keikhlasan."Sesungguhnya, tanpa sebarang tekanan atau paksaan daripada mana-mana individu atau pihak melainkan kesedaran diri sendiri bahawa tindakan saya sebelum ini telah melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat pada mana-mana orang, tempat, ritual agama selain agama Islam dengan apa-apa yang menyalahi hukum syarak," katanya.Ibu Aliff, Rohizayanti Ramli, 52, dan adiknya, Nur Ranea Ezreen turut melafazkan taubat dan dua kalimah syahadah pada majlis tersebut.Pada Rabu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat memerintahkan Aliff Daniel menjalani pemulihan akidah selama tiga bulan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pemujaan salah di sebuah kuil di Batu Caves, Gombak, Selangor.Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menjunjung alat keagamaan lain, melakukan ritual mencucuk anggota badan serta berlutut sambil merapatkan kedua-dua tangan di dada di hadapan patung di kuil berkenaan.Kesalahan itu didakwa berlaku antara pukul 9 malam hingga 11 malam pada 24 Januari 2024.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Perintah pemulihan akidah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 54(1) enakmen sama sebagai alternatif kepada hukuman denda atau penjara.Mahkamah turut menasihati Aliff supaya bertaubat nasuha dan kembali ke jalan benar kerana perbuatan berkenaan merupakan kesalahan berat yang boleh merosakkan tauhid.Dalam rayuannya, Aliff yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan atas alasan dia kini menjaga ibunya yang baru menjalani pembedahan selain sudah insaf.Dia turut menjelaskan gambar yang tular di media sosial itu merupakan foto lama ketika dia berusia 18 tahun pada 2024.Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah permohonan berkenaan kerana berpandangan tertuduh perlu menjalani pemantauan di pusat pemulihan oleh pihak berautoriti agama.Mahkamah menetapkan 25 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan laporan pemulihan akidah.Sebelum ini, Aliff Daniel menjadi perhatian selepas beberapa gambar dan video yang didakwa memaparkan dirinya menyertai ritual keagamaan bukan Islam tular di media sosial.Susulan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjalankan siasatan sebelum menahan Aliff Daniel bersama ibunya di Kuala Lumpur pada 13 Oktober lalu menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dengan bantuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).