PERTENGKARAN mengenai tambang tiket dan baki wang berakhir tragedi apabila seorang konduktor wanita meninggal dunia selepas ditolak keluar dari bas yang sedang bergerak.Insiden yang berlaku di Telangana, India itu membuatkan Gundla Pravalika, 24, menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta pada lewat Selasa selepas kira-kira 10 hari menerima rawatan akibat kecederaan parah yang dialami. Berdasarkan laporan, mangsa yang bekerja di Perbadanan Pengangkutan Jalan Negeri Telangana (TGSRTC) itu dilaporkan terjatuh sebelum digilis tayar belakang bas berhampiran Kampung Mittagudem pada 25 Oktober lalu.Memetik laporan IANS, kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara mangsa dengan seorang penumpang wanita dikenali sebagai Mounika berhubung tambang tiket anak lelakinya dan pemulangan baki wang.Penumpang berkenaan dikatakan menyerahkan wang kertas 100 rupee kepada mangsa.Bagaimanapun, mangsa yang tidak mempunyai wang kecil memintanya mengambil baki bayaran kemudian.Situasi itu mencetuskan pertengkaran sebelum penumpang terbabit didakwa menolak Pravalika keluar dari bas yang sedang bergerak.Susulan daripada itu, mangsa terjatuh di atas jalan sebelum kaki kanannya digilis tayar belakang bas sehingga remuk, manakala kaki kirinya turut mengalami kecederaan serius.Bertindak atas maklumat awam, polis kemudiannya menahan penumpang yang disyaki terlibat dan membuka kes berhubung kejadian itu.Susulan kematian mangsa, Ketua Menteri Telangana, A. Revanth Reddy menzahirkan rasa dukacita serta mengucapkan takziah kepada keluarganya.Beliau turut memberi jaminan kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.Sementara itu, pekerja TGSRTC melancarkan mogok di seluruh wilayah Khammam sebelum pemisahan pentadbirannya pada Rabu, menyebabkan perkhidmatan bas terhenti susulan seruan Jawatankuasa Tindakan Bersama pekerja.Mereka turut mengadakan protes di beberapa lokasi bagi menuntut hukuman tegas terhadap penumpang yang didakwa menyebabkan kematian konduktor tersebut.