PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyambut baik cadangan pelakon, AR Badul yang meminta supaya diwujudkan dana khas bagi penerbitan drama bersiri yang memberi fokus kepada golongan artis veteran.Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, cadangan itu akan dibawa ke peringkat jawatankuasa Kementerian Komunikasi dan Ahli Perbadanan Finas untuk perbincangan lanjut. Menurut Hans, cadangan berkenaan dilihat bernas dan berpotensi dilaksanakan menerusi inisiatif sedia ada iaitu Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) dengan beberapa pengubahsuaian membabitkan dokumentasi serta format penerbitan.“Cadangan itu sangat baik. Apa yang saya nyatakan tadi, saya akan bawa perkara itu kepada jawatankuasa untuk berbincang.Hans bakal bawa cadangan perkenal khas bantu artis veteran untuk perbincangan lanjut. “Kita ada Dana STAR yang diperuntukkan daripada bajet tahunan industri. Jadi, mungkin boleh sesuaikan dana untuk format drama bersiri,” katanya.Hans ditemui pada program Tribute Penghargaan Tokoh Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35 di Hulu Kelang pada petang Selasa.Pada acara itu, AR Badul dan Norlia Ghani diundang sebagai tetamu dalam sesi forum yang dikendalikan Fedtri Yahya selaku moderator.Sementara itu, Hans berkata penerbitan drama bersiri berkenaan dilihat mampu memberi impak dengan membuka peluang kepada lebih ramai pelakon veteran untuk terbabit dalam satu-satu naskhah.ARTIKEL BERKAITAN: Finas peruntuk 6 kategori Dana Kandungan Kreatif RM15 juta... Perluas peluang penggiat, bakat baharu dan artis veteran ARTIKEL BERKAITAN: Kualiti naik, kutipan turun... Finas tak lepas tangan bantu promosi filem tempatan“Jika kita jadikan projek drama bersiri, mungkin 10 hingga 15 orang pelakon veteran dapat terlibat sekali gus dalam satu projek.“Bila ada cadangan yang bagus, kita jangan buang, sebaliknya kita ambil dan cuba laksanakannya,” ujarnya.Sebelum itu, ketika sesi perkongsian berlangsung, AR Badul mencadangkan supaya dana khas bagi penerbitan drama bersiri membabitkan pelakon veteran diwujudkan bagi memberi peluang kepada golongan berkenaan terus berkarya.Menurutnya, walaupun tawaran menerusi telefilem sedia ada memberi ruang kepada artis veteran, jumlah watak yang terhad menyebabkan hanya segelintir daripada mereka berpeluang terbabit dalam sesuatu penerbitan.Finas sentiasa ambil maklum cadangan penggiat seni. Disebabkan itu dia berharap pihak sepatutnya dapat merangka projek drama bersiri berdurasi panjang yang mampu membuka peluang kepada lebih ramai penggiat seni veteran secara bergilir-gilir.“Jika kita wujudkan drama bersiri yang mempunyai episod panjang, ruang itu menjadi lebih luas. Puluhan pelakon veteran dapat peluang mengikut kesesuaian jalan cerita.“Penggiat seni veteran ini jiwanya kental dan masih mempunyai kudrat serta minat mendalam untuk beraksi di hadapan kamera.“Kami sangat menghargai segala bentuk sokongan dan keprihatinan masyarakat, namun apa yang lebih bermakna buat warga seni adalah peluang untuk terus bekerja dan menyumbang bakat selagi diperlukan,” katanya.Dalam perkembangan lain, FFM ke-35 dijadualkan berlangsung pada 21 November depan.