Acara kecergasan Hyrox semakin mendapat perhatian penggemar sukan yang mahu mencabar kemampuan fizikal menerusi gabungan larian dan latihan kekuatan. -Gambar hiasan AI
PENGANJURAN acara sukan popular Hyrox Kuala Lumpur 2026, berdepan risiko tidak mendapat kelulusan berikutan penglibatan sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai penaja rasmi.Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan, pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan memberikan kelulusan selagi tajaan syarikat berkenaan tidak ditarik balik sepenuhnya. Menerusi kenyataan media pada Rabu, Taufiq berkata pendirian itu selaras dengan pelaksanaan Kod Sukan Selamat yang terpakai kepada semua penganjur acara sukan tanpa pengecualian.Hyrox Kuala Lumpur 2026 dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 13 Disember depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.Bagaimanapun, permohonan penganjuran acara itu masih dalam proses dan belum diluluskan setakat ini.KBS turut menjelaskan bahawa tiada sebarang kelulusan atau penyaluran dana diberikan kepada acara berkenaan.Menurut kenyataan itu, Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 dengan jelas melarang mana-mana individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan produk tembakau, rokok elektronik atau minuman beralkohol daripada menganjur, menaja, mempromosi, mengiklankan atau menjual produk berkaitan dalam aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS serta agensinya.Sehubungan itu, semua syarikat yang ingin menganjurkan acara sukan perlu memberikan komitmen terhadap pelaksanaan kod berkenaan sebelum kelulusan diberikan.KBS turut menegaskan pihaknya tidak akan meluluskan penganjuran acara ini selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya termasuklah pengeluaran semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada semua saluran rasmi acara serta venue pertandingan.Dalam pada itu, KBS mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) menetapkan sesebuah syarikat tidak boleh terlibat dalam apa-apa aktiviti sukan melainkan mendapat lesen daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.Jika disabitkan kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.Peraturan itu terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, termasuk syarikat tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol, demi memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta.Sementara itu, Taufiq menerusi hantaran di Threads turut mengulangi pendiriannya bahawa KBS tidak akan meluluskan penganjuran Hyrox Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol itu tidak ditarik balik sepenuhnya.