DUNIA bola sepak diselubungi duka selepas penyerang kelab CD Tenerife, Jesus de Miguel, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius susulan pertembungan tragis ketika perlawanan pada Isnin.Menerusi satu kenyataan rasmi, pihak kelab menyifatkan pemergian De Miguel sebagai kehilangan besar yang cukup memberi kesan buat skuad berkenaan. "Kami amat berdukacita dan sukar menahan kesedihan, malah masih tidak percaya perkara ini benar-benar berlaku."Tiada kata-kata yang mampu mengubat kedukaan ini. Tiada apa-apa yang dapat meredakan kesedihan mendalam yang sedang kami rasai."Kami bersama dengan keluarga mendiang yang sedang berdepan saat sukar ini, insan tersayang serta seluruh penyokong Tenerife yang turut berkabung atas kehilangan tragis ini," demikian menurut kenyataan berkenaan. Insiden berlaku ketika penyerang berusia 30 tahun itu bertembung dengan penjaga gol Andorra, Jesús Owono pada penghujung aksi.Owono keluar dari kawasan penalti untuk menghalang bola jauh dan secara tidak sengaja lututnya terkena dada De Miguel.Susulan itu Owono dilayangkan kad merah, manakala De Miguel rebah tidak bergerak di atas padang.Dia dikejarkan ke hospital dan dilaporkan stabil, namun pada Selasa, keadaan neurologinya dilaporkan semakin merosot sebelum berita kematiannya disahkan kelab. -Agensi