SEMBILAN tahun selepas kemenangan terakhirnya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Max Verstappen mengulangi kejayaan apabila muncul juara Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain di Malaysia, pada Ahad.Pelumba Red Bull itu yang memenangi perlumbaan terakhir di Malaysia pada 2017, meraih kemenangan pertamanya musim ini selain memperoleh mata tambahan selepas mencatatkan pusingan terpantas perlumbaan. Pelumba Mercedes, Kimi Antonelli, menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Lewis Hamilton daripada Ferrari melengkapkan podium di tempat ketiga.Perlumbaan di SIC terpaksa ditangguhkan selepas hujan lebat melanda litar kira-kira 30 minit sebelum perlumbaan dijadualkan bermula pada jam 3 petang.Hujan berterusan selama kira-kira sejam menyebabkan keadaan litar tidak sesuai untuk perlumbaan dimulakan.Malah, beberapa jentera terbabas ketika barisan pelumba melakukan pusingan formasi di belakang kereta keselamatan.Pelumba Red Bull, Isack Hadjar, antara yang terbabas apabila jenteranya tergelincir ke kawasan batu kerikil, namun berjaya kembali ke litar.Kebanyakan pelumba menggunakan tayar intermediate ketika perlumbaan bermula, manakala sebahagian yang memilih tayar slick berdepan kesukaran mendapatkan cengkaman kerana tayar mengambil masa untuk mencapai suhu operasi.Verstappen yang bermula dari petak pertama turut menggunakan tayar slick, namun pilihan tayar intermediate terbukti lebih sesuai apabila Antonelli dan rakan sepasukannya, George Russell, berjaya memintasnya sebaik perlumbaan dimulakan.Bagaimanapun, Verstappen bangkit dan memintas Russell pada pusingan kelima sebelum mengejar Antonelli.Pelumba Belanda itu kemudian berjaya mengambil alih kedudukan pendahulu daripada Antonelli pada pusingan ke-13.Verstappen selepas itu menguasai sebahagian besar perlumbaan dan membina kelebihan lebih 10 saat di hadapan Antonelli.Namun, ketika perlumbaan berbaki 11 daripada 55 pusingan, Alexander Albon terpaksa memberhentikan jentera Williams di tepi litar akibat masalah kotak gear.Situasi itu menyebabkan Virtual Safety Car (VSC) dikeluarkan sebelum kereta keselamatan sebenar memasuki litar.Barisan pelumba kemudiannya dirapatkan di belakang kereta keselamatan ketika petugas litar berusaha mengalihkan jentera Albon.Bagaimanapun, sebelum perlumbaan disambung semula, perlumbaan Russell berakhir apabila masalah unit kuasa memaksanya berhenti selepas keluar dari laluan pit.Perlumbaan akhirnya disambung dengan hanya empat pusingan berbaki, namun Verstappen berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu meskipun Antonelli terus memberikan tekanan.Dalam perkembangan lain, Hamilton mencetuskan sorakan penonton tempatan apabila berjaya memintas Hadjar untuk naik ke kedudukan ketiga dengan tiga pusingan berbaki.Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlumbaan, membolehkan Verstappen meraih kemenangan di Sepang buat kali kedua selepas kejayaan pada 2017.-The Star