PENGANJURAN Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35 bukan sekadar platform pengiktirafan kecemerlangan penggiat seni.Malah, ia juga pemangkin perkembangan industri perfileman negara yang semakin menunjukkan prestasi memberangsangkan, khususnya dari segi kualiti penerbitan, penceritaan dan kutipan pawagam. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata industri perfileman tempatan kini berada pada landasan positif apabila lebih 10 filem tempatan berjaya mencatat kutipan melebihi RM10 juta tahun ini, sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan."Pencapaian ini membuktikan karya tempatan semakin berkualiti, diterima penonton dan mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.Azmir melihat filem Malaysia kini semakin berkembang. Menurutnya, peningkatan kualiti itu turut diakui barisan juri FFM35 yang berdepan cabaran memilih karya terbaik berikutan persaingan sengit antara filem yang bertanding.Azmir berkata, Finas berhasrat menjadikan FFM sebagai acara tahunan utama yang bukan sahaja meraikan kecemerlangan pembikin filem, malah menyatukan seluruh warga industri dan penonton tempatan."Sebagai dorongan kepada penghasilan karya yang lebih cemerlang, pemenang Filem Terbaik FFM35 turut menerima dana RM1 juta untuk membantu mereka meneruskan usaha menghasilkan filem berkualiti,” katanya.ARTIKEL BERKAITAN: Pesona Sinema FFM35 santuni ribuan mahasiswa, pelakon popular turun padang kongsi pengalaman industriARTIKEL BERKAITAN: ‘Khadam’ raih 12 pencalonan FFM35, pengarah Shamyl Othman harap penulis skrip dan komposer bawa pulang trofiDalam usaha memperkukuh kredibiliti penganjuran, Finas turut memperkenalkan sistem penjurian baharu buat pertama kali pada FFM35 dengan mengekalkan lapan juri profesional serta membabitkan tambahan 50 juri industri yang terdiri daripada bekas pemenang FFM dan pensyarah universiti.Azmir menjelaskan, proses penilaian dilaksanakan secara dalam talian dengan identiti barisan juri industri tidak didedahkan antara satu sama lain, termasuk kepada juri profesional, bagi memastikan penjurian berlangsung secara bebas, telus dan tanpa pengaruh kepentingan tertentu.“Pada peringkat awal, terdapat beberapa persoalan daripada juri profesional mengenai kaedah pemarkahan dan proses perbincangan."Bagaimanapun, selepas keseluruhan proses selesai, mereka sendiri terkejut apabila mendapati keputusan 50 juri industri adalah selari dengan penilaian juri profesional."Ini membuktikan pendekatan baharu tersebut mampu memperkukuh ketelusan dan memastikan keputusan tidak bergantung kepada pertimbangan individu semata-mata,” ujarnya.Azmir memaklumkan penjurian FFM tahun ini juga berbeza. Bagi memperluas pasaran global, Azmir berkata Finas akan terus memperkukuh program ‘Market Access’ melalui penyertaan delegasi Malaysia dalam pasaran dan acara industri antarabangsa seperti MIPCOM di Cannes, Hong Kong FILMART, Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy di Perancis, Asia TV Forum & Market (ATF) di Singapura serta JAFF Market di Yogyakarta, Indonesia.Kerjasama strategik dengan platform penstriman seperti Netflix, iQIYI dan Viu turut diperkasakan sebagai saluran penting untuk mengeksport kandungan Malaysia, selain kerjasama dengan Kementerian Luar Negeri serta pejabat kedutaan Malaysia di luar negara bagi mempromosikan karya tempatan kepada khalayak antarabangsa.Dalam perkembangan berkaitan, Azmir memaklumkan Finas bakal mengumumkan kerjasama baharu dengan Indonesia, termasuk pelaksanaan program ‘Malay Script Lab’ yang memberi tumpuan kepada pembangunan skrip dan penerbitan bersama antara kedua-dua negara.Usaha memperkukuh jaringan kerjasama serantau turut dirancang menerusi Asian Film Alliance Network (AFAN) dan program SeaShorts.“Malaysia mempunyai banyak karya berkualiti dengan identiti budaya dan kekuatan penceritaan tersendiri."Melalui kerjasama penerbitan, akses pasaran dan jaringan strategik antarabangsa, kita mahu memastikan filem Malaysia bukan sahaja berjaya di negara sendiri, tetapi mampu menembusi pasaran lebih luas serta membina kedudukan yang lebih kukuh dalam industri perfileman global,” katanya.