suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Puluhan tahun putus hubungan, AR Badul terkejut jumpa semula kekasih lama di TikTok

AR Badul kongsi pengalaman manis semasa membuat siaran langsung TikTok.

KERAP melakukan siaran langsung di TikTok, pelakon dan pelawak veteran AR Badul tidak menyangka platform itu menemukan semula dirinya dengan beberapa bekas kekasih yang sudah puluhan tahun terputus hubungan.

AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 78, berkata, dia berpeluang bertemu semula dengan bekas teman wanitanya menerusi sesi siaran langsung selain bertanya khabar selepas sekian lama tidak berhubung.

Menurutnya, pengalaman itu cukup menggembirakan kerana masing-masing sudah lama membawa haluan sendiri dan menjalani kehidupan sendiri.

AR Badul dedah sempat berbual dengan bekas kekasihnya di TikTok.

“Saya dapat berjumpa semula dengan bekas teman wanita yang sudah lama terputus hubungan. Tiba-tiba dia muncul di TikTok dan bertanya sama ada saya masih ingat dirinya. Itu memang satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Sekarang umur mereka pun sudah 60 hingga 70 tahun. Saya berjaya berjumpa semula dengan dua orang, seorang dari Segamat dan seorang lagi dari Sabah.

“Dulu kami memang rapat, tetapi kemudian terputus hubungan. Biasalah, masa muda kita ke sana sini, masing-masing pula membawa haluan sendiri dan ada yang mahu berkahwin.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak pernah gaduh, AR Badul akui tiada ‘chemistry’ kerja dengan Adlin Aman Ramlie - “Frekuensi kami tidak sampai”

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas setahun anak meninggal tertembak, AR Badul mahu tuntut hak - “Bukan nak bolot harta arwah tapi hak saya... anak-anak sendiri tak mengaku saya bapa”

“Apabila mereka muncul semula, saya cuba ingat nama dan wajah mereka. Ada kalanya apabila mereka beri petunjuk, barulah saya teringat,” katanya kepada mStar.

Berkongsi lanjut, AR Badul berkata, perbualan bersama bekas kekasih biasanya sekadar mengimbau kenangan lama dan bertanya khabar tanpa melampaui batas.

Jelasnya, dia juga perlu menjaga sensitiviti memandangkan bekas teman wanitanya kini masing-masing sudah berkeluarga.

“Kita kena berhati-hati juga sebab kita tidak tahu sama ada suami mereka mendengar atau tidak. Mungkin mereka sendiri rasa malu atau kurang selesa. Jadi, kita tengok keadaan terlebih dahulu.

Saya pun sudah tua, macam ini pun masih ada orang mahu menggoda!

AR BADUL 

PELAKON/PELAWAK

“Kalau nampak mereka selesa, barulah kita ungkit sedikit kenangan manis seperti pengalaman pernah menaiki kereta bersama-sama atau ketika kereta rosak sehingga terpaksa duduk sampai tengah malam.

“Kenangan yang manis-manis sahajalah. Perkara yang terlalu peribadi tidak perlulah diceritakan. Kalau perbualan sudah melampau, tiba-tiba mereka berhenti membalas atau memberi isyarat supaya berhenti, kita faham dan hormati batas itu.

“Mungkin ada orang di sekeliling mereka yang kurang selesa. Jadi, kita hormat keadaan mereka dan kirim salam kepada suami masing-masing,” ujarnya.

AR Badul sentiasa berhati-hati dalam bergaul.

Dalam pada itu, AR Badul menegaskan dia tidak melayan mesej peribadi daripada bekas kekasih mahupun peminat kerana bimbang perkara tersebut boleh menimbulkan salah faham.

Malah, dia mendedahkan pernah menerima mesej daripada individu yang cuba menggodanya sehingga membuatkan dirinya berasa kurang selesa.

“Saya memang tidak berani kerana bimbang perkara itu boleh mendatangkan masalah. Zaman sekarang kita tidak tahu siapa yang cuba memancing atau mengambil kesempatan.

“Ada juga lelaki yang menggunakan nama Ismail, tetapi meletakkan nama Isma. Dia cuba menggoda saya sampai saya sendiri rasa malu. Saya pun sudah tua, macam ini pun masih ada orang mahu menggoda!

AR Badul tak mahu tidak bawa rakan di TikTok ke luar.

“Sebab itu saya kena berhati-hati dan kenal pasti dahulu siapa yang berurusan dengan saya. Kalau nampak ada sesuatu yang mencurigakan, saya akan cuba mengelak daripada melayan," kongsinya.

Tambah AR Badul sebagai orang yang berpengalaman dia perlu bijak membaca keadaan agar tidak terpedaya dengan isu-isu yang tidak sepatutnya boleh mencemarkan nama baiknya sebagai pelakon senior dalam industri seni.

“Kalau kita ikut sahaja rentak mereka, macam-macam cerita boleh keluar. Contohnya, ada yang mula bercerita kononnya selalu bergaduh dengan isteri dan berasa sunyi. Jadi, saya tidak mahu terjebak dengan perkara seperti itu.

“Orang boleh kata, 'Dah tua, sudahlah tu!' Jadi, apa yang saya hendak jawab nanti? Malu juga. Sebab itu saya memang sentiasa berjaga-jaga, lebih-lebih lagi apabila berkomunikasi menerusi mesej peribadi,” katanya.

Artikel Lain