suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kualiti naik, kutipan turun... Finas tak lepas tangan bantu promosi filem tempatan

'Tarung: Unfrogiven' dan 'Chelot' merupakan dua filem tempatan dengan kutipan tertinggi bagi 2026.

BAHAGIAN 2

DI SEBALIK penghasilan filem tempatan yang rancak sepanjang 2026, ada seperkara yang menjadi kegusaran dan perlu diberi perhatian, iaitu jumlah kutipan di pawagam kurang memberangsangkan.

Merujuk kepada Laporan Data Kutipan Filem Di Bawah Skim Wajib Tayang disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), setakat 23 Oktober, cuma enam filem berjaya mencatat kutipan melebihi RM10 juta dengan jumlah keseluruhan RM94.38 juta.

Berbaki dua bulan sebelum 2026 melabuhkan tirai, nilai tersebut dilihat jauh berbeza berbanding kutipan keseluruhan RM208.12 juta untuk tahun sebelumnya dengan hanya empat filem mencapai kutipan melebihi RM10 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib turut mengakui situasi tersebut dan berharap beberapa buah filem yang bakal ditayangkan November dan Disember depan mampu meraih jumlah kutipan yang lebih baik.

Azmir yakin filem tempatan menunjukkan peningkatan kualiti. 

"Sehingga sekarang (Oktober) memang jumlah kutipan tidak seperti tahun lalu. Tahun lepas ada tiga filem mencecah kutipan lebih RM50 juta. Diharapkan ada 10 filem tempatan tahun ini mencapai kutipan melebihi RM10 juta.

"Ada beberapa filem akan keluar (November dan Disember) dan semoga boleh mencapai sasaran itu," katanya kepada mStar ketika mengulas isu berkenaan.

Bercakap lanjut, bagi Azmir, nilai kutipan bukan refleksi aspek kualiti sesebuah karya kerana peratusan penonton yang memilih filem tempatan menunjukkan peningkatan yang baik.

Bahkan, respons positif penonton yang menyaksikan filem kita menerusi platform penstriman (over-the-top atau OTT) membuktikan kualiti penghasilan filem tempatan kini semakin mendapat perhatian ramai.

ARTIKEL  BERKAITAN: Irfan Zaini enggan melatah, kutipan rendah bukan ukuran filem ‘Terbang‘ gagal 

ARTIKEL BERKAITAN: “Orang tak terpanggil untuk tengok” - Nam Ron akur sambutan ‘Terbang‘ hambar, penonton kurang minat genre biopik

"Ada kejayaan yang boleh dikongsikan di sebalik jumlah kutipan (menurun). Peratusan penonton filem tempatan berbanding Hollywood tahun ini meningkat. Tahun lepas jumlah kutipan tinggi tetapi jumlah penonton (filem tempatan) sekitar 30 hingga 35 peratus.

"Tahun ini kita jangkakan jumlah tersebut boleh mencapai 40 hingga 45 peratus dan tahun hadapan menjadi 50 peratus.

"Melihat sambutan baik di OTT, itu menunjukkan filem kita ada kualiti. Mungkin faktor masa atau kewangan penonton menjuruskan mereka lebih memilih OTT.

"Pembikin filem akan mengutamakan kutipan di pawagam kerana itu adalah sumber pendapatan utama mereka. Kalau penonton cenderung menyokong filem tempatan, tontonlah di pawagam. Menonton di pawagam lebih membantu filem kita," sarannya.

Menonton di pawagam lebih membantu filem kita

DATUK AZMIR SAIFUDDIN MUTALIB

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF FINAS 

Hurainya lagi, Finas tidak pernah lepas tangan dalam membantu aspek promosi dan menyusun strategi untuk filem-filem tempatan.

Malah, sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab, Finas sentiasa memantau trend semasa bagi memastikan filem yang berada di pawagam mendapat sambutan baik dalam kalangan penonton.

Katanya lagi, Finas juga aktif turun padang untuk membuat rakaman di sebalik tabir sebagai satu langkah promosi dan dikongsikan pada platform media sosial mereka.

Bukan itu saja, perbadanan itu turut mengambil inisiatif mempromosikan filem wajib tayang menggunakan platform Finas dan siaran audio siar sedia ada.

Senarai filem lokal terlaris untuk 2026 (setakat Oktober). 

"Menerusi skim wajib tayang, kami menyusun jadual secara teratur dengan strategi mengelakkan pertindihan tayangan di pawagam. Kami juga meminta pasukan Finas memantau beberapa lokasi tayangan dan menilai tempat yang mendapat sambutan.

"Sebagai contoh, kini filem Orang Perang, sebuah karya bagus tetapi kurang mendapat sambutan. Kami masih membantu untuk promosi. Begitu juga filem Pemuja Syaitan yang ada masalah ketika awal tayangan. Kami meminta pihak terbabit terus membuat penambahbaikan.

"Kami sentiasa mengkaji trend semasa seperti soal gaji hujung bulan atau adanya acara besar lain yang menyebabkan penonton kurang ke pawagam," jelasnya.

Senarai kutipan filem pecah panggung bagi 2025. 

Menutup perbualan, Azmir sekali lagi menegaskan penghasilan filem tempatan kini dilihat semakin berkualiti, termasuk pada aspek lakonan barisan pelakon.

"Perkembangan kualiti dan teknologi semakin meningkat. Contohnya filem Tarung: Unforgiven, Polong dan Chelot, kita melihat peningkatan dari sudut lakonan dan pengarahan. Kita ada kepakaran dan perkara itu telah terbukti. Saya boleh katakan tak malu nak menonton filem kita.

"Perubahan ketara tahun ini juga, saya melihat ramai rakan artis memberi sokongan terhadap penghasilan filem. Mereka datang menonton ketika majlis previu dan membantu promosi. Ramai bercerita tentang kejayaan sesebuah filem. Kalau bukan orang industri yang membantu, bagaimana nak suruh orang lain datang menonton," ujarnya.

Bukan penonton tak minat, cuma lebih selektif - Razaisyam

Menyuarakan pandangan senada, pengarah filem aksi Tarung: Unforgiven iaitu Razaisyam Rashid menolak andaian masyarakat kini sudah hilang minat terhadap karya tempatan, sebaliknya penonton lebih berhati-hati sebelum berbelanja.

Tambahnya, kebanjiran platform penstriman digital menuntut pembikin filem untuk menghasilkan karya yang benar-benar bernilai dan berbaloi untuk menarik penonton ke pawagam.

Razaisyam tolak andaian masyarakat hilang minat terhadap karya tempatan.

“Penonton bukan tidak berminat, tetapi mereka jauh lebih selektif. Hari ini terlalu banyak pilihan kandungan di hujung jari yang boleh ditonton pada bila-bila masa. Jadi apabila seseorang sanggup memandu, bayar parkir dan beli tiket, mereka mahu rasa masa, tenaga dan wang itu berbaloi.

“Kita tidak boleh meletakkan kesalahan di bahu penonton kerana mereka ada hak memilih. Filem yang bagus perlukan promosi yang betul untuk sampai kepada khalayak, manakala promosi hebat pula tidak akan bertahan lama jika kualiti filem itu sendiri mengecewakan,” jelasnya.

Mengulas kejayaan naskhah arahannya yang berjaya mengutip RM23 juta, Razaisyam menyifatkan pencapaian itu sebagai rezeki dan tuah kerana tempoh tayangan filem itu tidak bersaing dengan filem gergasi lain.

Tarung: Unforgiven mendapat kutipan tertinggi untuk 2026, setakat ini. 

“Tiada rahsia pun, semuanya rezeki dan kebetulan waktu tayangan sesuai tanpa persaingan sengit. Pemilihan pelakon nama besar bukan jaminan utama kerana apa yang lebih mustahak adalah kesan emosi yang ditinggalkan kepada penonton sehingga mencetuskan promosi daripada mulut ke mulut.

“Kutipan rendah tidak bermakna sesebuah karya itu gagal. Contohnya filem Terbang, bagi saya ia antara naskhah terbaik tahun ini walaupun kutipannya kurang memberangsangkan.

“Banyak faktor luar mempengaruhinya termasuk cuaca hujan atau pertembungan acara besar. Pengarah perlu terus berani tawarkan penceritaan yang dekat dengan jiwa masyarakat serta pengalaman sinematik yang segar,” tambahnya.

Hashim anggap penonton mudah skeptikal pada filem bajet rendah

Sementara itu, pengarah filem Orang Perang, Hashim Rejab pula membangkitkan isu stigma masyarakat yang cenderung memandang sepi filem berbajet rendah kerana menganggap kualitinya tidak setanding karya mewah yang mencecah kos puluhan juta ringgit.

“Penonton sekarang suka mendengar bajet yang mahal. Bila kita umum kos produksi rendah, mereka terus skeptikal dan sangka produk itu tidak elok.

“Selain itu, penonton kita masih terikat dengan pelakon tertentu. Bila sesebuah filem tidak menampilkan barisan pelakon pujaan mereka, kita dapat lihat pengurangan ketara penonton di panggung,” katanya.

Hashim akui kos pembikinan filem 'Orang Perang' hanya RM3 juta. 

Mengulas mengenai masa depan industri, Hashim bimbang penerbit tempatan akan semakin takut untuk mengambil risiko menghasilkan karya baharu.

“Produser akan takut mencuba genre baharu kerana bimbang gagal di pawagam. Akhirnya nanti, hanya produksi gergasi yang berani melabur bajet RM5 juta ke atas sahaja yang mampu bertahan, sekali gus mengecilkan peluang kepelbagaian naskhah dalam industri kita,” ujarnya.

Merungkai angka kutipan dan trend tontonan di pawagam yang kurang sihat ini, para penerbit dan penggiat filem tempatan tentu dijentik kebimbangan.

Berbaki dua bulan sebelum 2026 berakhir, beberapa judul yang bakal mengisi slot tayangan termasuklah Giring dan Kudrat 1968: High Council (29 Oktober), Sayang Sayang dan Baga: Esok Untuk Siapa (5 November), Kacau (12 November), Bisikan: Luka Yang Berbisik (19 November), Takluk 2: Op Daulat (26 November) dan Hak: Tuntut Atau Tunduk (24 Disember).

Sejauh mana prestasi filem-filem ini di pawagam kelak berbalik pada tuah, rezeki, kaedah promosi dan sambutan penonton itu sendiri.

Apa jua hasil yang dikecapi oleh karya-karya yang sudah atau bakal ditayangkan, penggiat filem dan masyarakat perlu saling memberi dan menerima demi kelestarian seni dan budaya Malaysia.

Ini kerana, filem kita wajah kita.

    Artikel Lain