PELAKON Ashraf Muslim menyifatkan kehadiran cahaya mata keenam, Affan Ashraf yang dilahirkan pada 19 September lalu sebagai rezeki dan amanah baharu yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.Ashraf atau Muhd Ashraf Muslim, 45, berkata pertambahan cahaya mata membuatkan dia semakin menyedari besarnya tanggungjawab sebagai seorang bapa dalam membesarkan anak-anak. "Alhamdulillah, 19 September lahirlah seorang lagi permata hati kami, Affan Ashraf."Seronok tengok abang-abang dan kakak-kakak menyambut kehadiran adik baru. Satu lagi rezeki, satu lagi amanah dan satu lagi sebab untuk ayah terus kuat berusaha.Anak-anak teruja menyambut kelahiran adik baharu."Makin bertambah anak, makin ayah sedar besarnya tanggungjawab yang Allah pinjamkan. Mereka bukan sekadar kebahagiaan kita di dunia, tetapi amanah yang akan ditanya di akhirat nanti," katanya. Ashraf berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram pada Rabu. Dalam pada itu, Ashraf turut menitipkan pesanan buat anak-anaknya agar membesar menjadi insan yang soleh dan solehah serta sentiasa mengingati Allah.Katanya, dia tidak mampu menjanjikan kehidupan sempurna buat mereka, namun akan berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik.ARTIKEL BERKAITAN: Ashraf Muslim timang anak kelima, Ali Ashraf ‘laut harapan’ buat keluargaARTIKEL BERKAITAN: Ashraf Muslim kongsi ‘real story’ individu bertarung nyawa, paru-paru dan buah pinggang rosak dijangkiti virus - “Covid-19 is real guys!”"Ayah tak mampu menjanjikan kehidupan yang sempurna, tetapi ayah akan cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik. Semoga mama, ibu dan ayah diberi kekuatan untuk mendidik kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah."Anak-anakku, tak perlu jadi kaya atau terkenal untuk membahagiakan ayah. Cukuplah kalian menjadi insan yang mengenal Allah, menjaga solat, bersahabat dengan quran dan tidak pernah lupa mendoakan kami apabila suatu hari nanti kami sudah tiada."Ya Allah, jagalah anak-anak kami ketika kami tidak mampu menjaga mereka. Pimpinlah mereka ketika kami tidak lagi mampu membimbing mereka. Jadikanlah mereka penyejuk mata dan bekalan kami menuju syurga-Mu," ujarnya. Usaha mStar mendapatkan kenyataan lanjut daripada Ashraf tidak berjaya apabila panggilan dibuat tidak dijawab.Ashraf (dua dari kiri) bahagia bersama kedua-dua isteri dan anak-anak.Untuk rekod, Ashraf mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama, Noor Dayana Lokman pada 24 September 2011 di Tanah Suci Makkah.Mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Anas Ashraf yang kini berusia 11 tahun. Ashraf kemudiannya berkahwin pula dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di Thailand. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 12, Adam Ashraf, 11, Safiyyah Ashraf, 8, dan Ali Ashraf yang kini berusia setahun.