Tun Mahathir memohon maaf kerana tidak mampu membalas satu persatu surat dan ucapan takziah diterima susulan kematian Tun Hasmah.
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih apabila pusara arwah isterinya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali, masih tidak putus-putus dikunjungi orang ramai biarpun lebih sebulan selepas pemergiannya.Menerusi hantaran di media sosial pada Rabu, Dr Mahathir yang kini berusia 101 tahun turut memohon maaf kerana kekangan diri menghalangnya daripada kerap berada di pusara untuk bertemu dengan mereka yang hadir menziarah."Hasmah telah pergi lebih sebulan tetapi masih ramai yang menziarah pusaranya. Saya merasa amat terharu dan berterima kasih dengan kehadiran serta doa yang tidak putus untuk Hasmah. "Saya ingin minta maaf kerana tidak dapat sering ke pusara dan bertemu dengan yang datang menziarah pusara isteri saya," katanya.ARTIKEL BERKAITAN: “Syukur Allah pinjamkan Hasmah sebegitu lama” - Dr MahathirDalam perkongsian sama, beliau turut memohon maaf kerana tidak dapat membalas satu per satu surat serta ucapan takziah yang diterima daripada pelbagai pihak sejak pemergian Dr Hasmah."Begitu juga dengan surat-surat, ucapan-ucapan takziah yang diterima. Saya tidak dapat nak jawab satu persatu. Saya cuba jawab seberapa mampu," tulisnya dalam hantaran tersebut.Untuk rekod, Allahyarham Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.20 pagi, 28 September lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada usia 100 tahun.Pemergian tokoh wanita itu menyaksikan berakhirnya perjalanan hidup bersama Mahathir yang mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956.Hasil perkongsian hidup selama hampir tujuh dekad, pasangan berkenaan dikurniakan tujuh cahaya mata.Jenazah Allahyarhamah kemudian dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari yang sama.