Niezam (dua dari kanan), mewakili Star Media Group (SMG) menerima sumbangan wakalah PPZ-MAIWP yang disampaikan Dr Zulkifli (dua dari kiri).
PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyalurkan sumbangan wakalah berjumlah RM70,000 kepada 14 badan kebajikan dan surau media sebagai usaha menyantuni kebajikan warga industri berkenaan.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan PPZ-MAIWP terhadap kebajikan keluarga besar media, khususnya mereka yang berdepan kesukaran hidup. "Pada malam ini, semangat saling mengambil berat itu turut diterjemahkan melalui sumbangan wakalah berjumlah keseluruhan RM70,000 kepada 14 badan kebajikan atau surau media."Kami berharap sumbangan ini dapat menyokong usaha badan-badan tersebut menyantuni warga mereka yang memerlukan," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media PPZ-MAIWP 2026 di Parkroyal Collection Kuala Lumpur pada Rabu.Antara 14 penerima tersebut termasuk Star Media Group (SMG) yang diwakili Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah sebanyak RM5,000. Dr Zulkifli berharap sumbangan diberikan dapat membantu badan kebajikan dan surau media menyantuni warga kerja yang memerlukan.-Foto Chan Tak Kong/SMGDalam majlis sama, PPZ-MAIWP turut menyaksikan penyerahan bantuan zakat secara simbolik kepada empat penerima yang layak dalam kalangan warga media.Zulkifli berkata, bantuan berkenaan merangkumi keperluan kewangan, perubatan dan penyediaan kaki palsu bagi membantu penerima menghadapi cabaran kehidupan."Mudah-mudahan bantuan ini memberikan kelegaan serta membantu penerima dan keluarga meneruskan kehidupan dengan lebih baik," ujarnya.Dalam pada itu, beliau berkata keprihatinan PPZ-MAIWP turut merangkumi pembayar zakat dan keluarga mereka menerusi Skim Kafalah Muzakki yang menyediakan sumbangan khairat kematian sehingga RM3,000 kepada waris pembayar zakat.Selain itu, inisiatif Wakalah Majikan turut membuka ruang kepada organisasi media yang memenuhi syarat untuk memohon pengembalian sebahagian zakat kakitangan yang dibayar melalui potongan gaji kepada PPZ-MAIWP.Dana berkenaan boleh diagihkan semula kepada golongan asnaf yang layak, termasuk dalam kalangan warga kerja organisasi terbabit.