PEMILIKAN lesen operasi bukan jaminan sesebuah rumah sembelihan sudah mendapat pengesahan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang dipohon akan dinilai melalui pengauditan selain dipantau sepanjang tempoh pensijilan. "Pensijilan halal bukan sekadar paparan sijil atau logo. Permohonan SPHM melibatkan penilaian dokumentasi dan pemeriksaan lapangan terhadap sumber bekalan, proses penyembelihan, pengendalian, kebersihan serta sistem kawalan halal dalaman."Selepas dipersijilkan, pemegang SPHM tertakluk kepada pemantauan dan tindakan pensijilan sekiranya berlaku ketidakpatuhan," katanya.Zulkifli menjelaskan perkara itu selepas menyertai operasi pemeriksaan bersama pasukan Pemantauan Bahagian Pengurusan Halal Jakim di sebuah rumah sembelihan di Petaling Jaya, pukul 12.30 pagi Khamis.Logo dan cop diberikan apabila pengoperasi mematuhi SOP yang ditetapkan dalam pensijilan Jakim.Bagaimanapun, Zulkifli menjelaskan ketiadaan SPHM tidak dengan sendirinya membuktikan sesuatu sembelihan tidak halal.Sebaliknya, premis berkenaan belum memperoleh pengesahan pematuhan melalui sistem yang ditetapkan."Pemilikan lesen operasi pula tidak boleh disamakan dengan pensijilan halal," tegasnya.Dalam operasi di premis pemegang SPHM itu, beliau turut menyaksikan pemeriksaan ayam sebelum penyembelihan serta meneliti kesahan tauliah penyembelih.Pemeriksaan turut meliputi pengasingan ayam yang tidak memenuhi keperluan halal dan penyelenggaraan rekod kebolehkesanan bekalan.Susulan itu, beliau menggalakkan pengusaha rumah sembelihan memohon SPHM walaupun pensijilan berkenaan bersifat sukarela.Katanya, langkah itu membantu memperkukuh kawalan operasi, memudahkan kebolehkesanan bekalan dan meningkatkan keyakinan pelanggan.Pensijilan tersebut juga memudahkan restoran, pasar raya serta peniaga memilih sumber bekalan berdasarkan pengesahan yang boleh disemak.