suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Balik kerja tengok langit dah gelap gelita… Rupanya ini punca Maghrib makin awal setiap kali masuk November

Laluan orbit bumi yang berbentuk bujur menyebabkan terdapat beberapa tempoh dalam setahun yang mana waktu siang di Semenanjung menjadi lebih pendek. -Gambar hiasan

PERASAN atau tidak, sebaik sahaja melangkah masuk ke bulan November, suasana langit di sekitar Semenanjung Malaysia mula bertukar gelap seawal pukul 6.30 petang.   

Situasi ini pastinya membuatkan kita berasa seolah-olah masa berlalu terlalu pantas.

Malah ada yang tidak sempat melakukan aktiviti riadah selepas pulang dari pejabat kerana hari sudah mula gelap.

Mengulas mengenai fenomena 'malam awal' ini, penulis bidang sains, Zamir Mohyedin menjelaskan bahawa keadaan tersebut sebenarnya mempunyai penjelasan khusus daripada sudut ilmu astronomi.

Menurut Zamir, walaupun Malaysia terletak berhampiran Garisan Khatulistiwa, negara kita secara asasnya tetap mengalami perubahan tempoh waktu siang dan malam sepanjang tahun.

Malah, rekod menunjukkan tempoh antara bulan November hingga awal Disember merupakan waktu matahari terbenam paling awal dalam setahun di Malaysia.

Sebagai perbandingan, matahari biasanya terbenam hampir pukul 7.30 malam pada pertengahan tahun iaitu sekitar bulan Julai.

Namun apabila memasuki bulan November, waktu maghrib berlaku jauh lebih awal iaitu sekitar pukul 6.55 petang.

Penjelasan astronomi di sebalik fenomena 'malam awal'

Jelas Zamir, punca utama fenomena ini berlaku adalah disebabkan faktor kecondongan paksi Bumi atau axial tilt serta laluan orbitnya yang berbentuk bujur (elips) ketika mengelilingi Matahari.

"Bumi kita tidak berputar secara menegak, tetapi ia senget pada sudut 23.5 darjah. Apabila Bumi mengelilingi Matahari, kecondongan ini menyebabkan bahagian Hemisfera Utara dan Hemisfera Selatan menerima jumlah cahaya matahari yang berbeza mengikut bulan.

"Masa bulan Jun atau Julai, Hemisfera Utara condong ke arah Matahari (musim panas di sana). Jadi, kawasan di utara Khatulistiwa termasuk Malaysia mendapat waktu siang yang lebih panjang.

"Sebab itu waktu ini Maghrib kita lewat sekitar pukul 7.25 malam ke atas," jelasnya menerusi hantaran di Facebook.

Namun, sebaik memasuki bulan November dan Disember, Hemisfera Utara mula condong menjauhi Matahari sekali gus membawa kepada perubahan musim sejuk di kawasan berkenaan.

Disebabkan kedudukan Malaysia berada di atas Garisan Khatulistiwa, kawasan Semenanjung turut terkesan apabila waktu siang menjadi sedikit pendek.

Akibatnya, ia menyebabkan waktu matahari terbenam berlaku paling awal dalam setahun.

Tambah beliau, gabungan faktor laluan orbit bujur dan kecondongan paksi Bumi ini secara tidak langsung menyebabkan pergerakan Matahari di langit kelihatan 'mendahului' waktu sebenar pada jam tangan kita.

Artikel Lain