suria

Air mata kegembiraan... Miki bangga raih emas Muay Thai Sukan SEA di usia 16 tahun

Mikail (tengah) menitis air mata selepas meraih pingat emas acara Muay Thai lelaki 57 kilogram. -Foto Izzrafiq Alias/SMG

PEMENANG pingat emas acara Muay Thai lelaki 57 kilogram (kg) Sukan SEA ke-33, Mikail Ghazali membuktikan dia memiliki kematangan dan kekuatan mental luar biasa walaupun baru berusia 16 tahun.

Mikail atau mesra dipanggil Miki mengakui dia memikirkan soal umurnya ketika berada di atas gelanggang pada aksi final menentang wakil tuan rumah, Supakhon Sirilun, 23.

"Apabila dalam gelanggang pun Miki berfikir, siapa je umur 16 yang dah dapat emas untuk SEA Games (acara Muay Thai lelaki)? Miki sorang ja.

"Alhamdulillah, rezeki berjalan dengan lancar. Alhamdulillah dapat menang," kata Miki seperti yang tersiar di Astro Arena.

Miki, adik kepada bintang ONE Championship, Johan Ghazali, berjaya mengatasi tekanan hebat penyokong tuan rumah sebelum mencatat kemenangan tipis 29-28 selepas tiga pusingan sengit.

Sorakan dan ejekan penonton yang memihak kepada petinju Thailand tidak mematahkan semangat Miki, malah dia kekal tenang dan berdisiplin untuk mengawal perlawanan menentang lawan yang tujuh tahun lebih berusia daripadanya.

“Saya tahu saya bertarung di dua medan, menentang lawan dan tekanan penyokong. 

"Saya banyak mengkaji corak permainan lawan kerana yakin akan bertemu dengannya di final,” kata Miki yang tidak dapat menahan air mata selepas kemenangan tersebut.

Untuk rekod, ratu luncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah menjadi atlet termuda negara meraih emas di Sukan SEA apabila memenangi acara kategori tricks pada Sukan SEA Ke-26 di Indonesia pada 2011.

Artikel Lain