suria

Kenangan pahit beri inspirasi... Cik Lan, Yassin pertaruh Alamak Terlepas Bus Raya

Muzik video Alamak Terlepas Bus Raya diinspirasikan daripada pengalaman sebenar Cik Lan terlepas bas ketika Ramadan.

PENYANYI dan pengacara Roslan Shah atau lebih mesra disapa Cik Lan tampil memeriahkan musim Aidilfitri tahun ini dengan buah tangan baharu apabila melancarkan muzik video lagu raya berjudul Alamak Terlepas Bus Raya.

Menurut Cik Lan, muzik video berkenaan sudah ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube MBK Film Studio pada Sabtu lalu.

“Alhamdulillah, muzik video Alamak Terlepas Bus Raya sudah ditayangkan hari ini di YouTube MBK Film Studio. Ini kali pertama saya buat lagu raya yang lengkap dengan muzik video. Sebelum ini tak pernah buat lagi,” katanya.

Lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan komposer Akie Theflow, manakala lirik pula ditulis bersama oleh Akie dan Cik Lan sendiri.

Cik Lan dan Yassin tampil dengan lagu raya baharu berjudul Alamak Terlepas Bus Raya sempena Aidilfitri 2026.

Cik Lan mengakui projek tersebut bermula sekadar hanya mahu mencuba, namun berharap ia dapat diterima oleh peminat.

“Lagu ini sebenarnya sekadar mencuba saja. Kita tak tahu kalau ada rezeki dan peminat suka.

"Sebenarnya saya hadiahkan lagu ini kepada Gen Z yang selama ini menyokong saya, sebab itu saya pilih konsep lagu yang rancak,” katanya lagi.

Penggambaran dijalankan di Perkampungan Klang, Selangor dan disiapkan hanya dalam tempoh sehari walaupun berlangsung pada bulan Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN:Tiada niat nak peluk, Roslan Shah akui tak sekufu dengan Vida... “Saya takut nak kahwin dengan dia sebab kekayaan kami tidak sama”

ARTIKEL BERKAITAN:Gen Z kerumun Roslan Shah, tak sangka masih berbisa di usia 55 tahun... "Dahulu saya dihina dan dikeji"

Dalam pada itu, Cik Lan turut menampilkan penyanyi Yassin Yahya dalam projek lagu raya tahun ini kerana merasakan keserasian selepas mereka pernah bekerjasama sebelum ini.

“Saya tawarkan Yassin Yahya untuk projek lagu raya 2026 ini sebab rasa serasi. Sebelum ini Yassin pernah sertai program Night Walk bersama saya dan saya lihat dia sangat komited, profesional serta mudah bekerjasama,” katanya.

Berkongsi proses rakaman, Cik Lan berkata sesi rakaman vokal lagu tersebut dilakukan di sebuah studio di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum Ramadan dan mengambil masa kira kira lima jam untuk disiapkan.

Muzik video lagu ini sudah boleh ditonton di YouTube sejak 7 Mac lalu. 

Menariknya, lagu Alamak Terlepas Bus Raya turut diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Cik Lan sendiri kira-kira 20 tahun lalu.

“Cerita lagu ini datang daripada pengalaman saya sendiri. Dulu saya pernah terlepas bas ketika nak balik Singapura sebab jem teruk di Kuala Lumpur pada bulan puasa, lebih kurang tiga hari sebelum raya. Itu kenangan yang saya tak boleh lupa,” katanya.

Daripada pengalaman tersebut, Cik Lan dan Akie Theflow akhirnya menghasilkan lirik yang membentuk jalan cerita lagu raya Alamak Terlepas Bus Raya.

Artikel Lain