suria

“Orang tak suka saya, bukan sebab lagu” - Ifa Raziah jawab kritikan Gedik Raya

Ifa seronok dengan respon dari pendengar lagu Gedik Raya.

SELEPAS lima tahun berehat daripada industri nyanyian, penyanyi Ifa Raziah tampil dengan lagu baharu sempena Aidilfitri berjudul Gedik Raya.

Bagaimanapun, lagu tersebut menerima pelbagai kritikan daripada netizen selepas dilancarkan pada 27 Februari lalu. 

Tampil menjelaskan perkara tersebut, Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, 50, bagaimanapun berpendapat kecaman yang diterima bukan disebabkan lagu berkenaan, sebaliknya wujud pihak yang tidak menyukainya secara peribadi.

Ifa terima kecaman dengan berlapang dada.

“Saya nak tengok sejauh mana lagu ini boleh pergi dan bagaimana respons peminat. Sudah tentu akan ada yang mengecam.

“Bukan sebab mereka tak suka lagu atau muzik video itu, tetapi kerana mereka tidak suka saya secara peribadi.

“Ada yang kata perempuan seusia saya tak sesuai bawa lagu gaya Gen Z. Tetapi bagi saya, kita perlu ikut peredaran zaman. Takkanlah nak buat lagu seperti zaman 90-an sahaja,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jarang pekerja boleh bertahan sampai 16 tahun kalau bukan majikan berhati mulia” - Ifa Raziah raih pujian netizen, sanggup hadir majlis nikah pembantu rumah di Indonesia

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Selisih faham punca lebih enam bulan Cheta Pot Pet tidak jumpa Ifa Raziah, cuba berbaik tapi ditolak

Ifa berkongsi perkara itu ketika ditemui pada rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Menurutnya, ramai berpendapat lagu berkenaan sesuai dibawa oleh generasi baharu kerana konsepnya lebih moden.

“Mula-mula orang rasa pelik sebab nama Ifa Raziah yang bawa lagu ini. Kalau diberi kepada artis baharu mungkin tiada masalah.

Konsep Gedik Raya ini beraya di kayangan, bukan di bumi.

IFA RAZIAH

PENYANYI

“Mereka boleh buat apa sahaja gaya tarian, melompat atau beraksi pun orang terima. Tetapi sebab saya artis generasi lama, apa sahaja yang saya buat nampak salah kerana mereka anggap saya sudah berusia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ifa turut menjelaskan salah faham netizen yang menyangka muzik video lagu tersebut menggunakan kecerdasan buatan (AI).

Tegasnya, muzik video berkenaan sebenarnya menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) dengan bantuan green screen bagi menggambarkan konsep beraya di kayangan.

“Ada juga yang kecam sebab kata saya guna AI. Sebenarnya muzik video itu menggunakan teknik CGI, bukan AI.

Ifa sudah muak dengan suasana beraya di kampung.

“Konsep Gedik Raya ini beraya di kayangan, bukan di bumi. Sebab itu visualnya penuh elemen fantasi. Untuk menggambarkan konsep itu, kita gunakan teknologi terkini,” jelasnya.

Dalam masa sama, Ifa berkata dia sengaja memilih konsep beraya di kayangan kerana kebanyakan muzik video lagu raya sering memaparkan suasana pulang ke kampung.

“Saya memang mahu buat sesuatu yang berbeza. Kebanyakan lagu raya memaparkan suasana kampung yang terlalu biasa.

“Jadi saya cuba keluar daripada konsep itu. Bagi saya, kalau orang nak kecam atau mengata terpulang. Yang penting lagu itu viral dan sampai kepada pendengar bagi memeriahkan lagi industri muzik tempatan,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain