suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Cuba berpaut pada kereta nak selamatkan diri, lelaki patah kaki dirempuh Proton Saga depan pasar raya

Tangkap layar video memaparkan mangsa dalam keadaan patah kaki yang kemudiannya dirempuh pemandu Proton Saga.

GEMPAR dalam kalangan pengguna media sosial susulan tularnya rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan detik cemas seorang lelaki mengalami patah kaki selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga di Taman Pulai Utama, Skudai, Johor.

Menerusi video terbabit, mangsa dilihat cuba menyelamatkan diri dengan berpaut pada sebuah kenderaan berhampiran, tidak jauh dari motosikal miliknya yang sudah terbalik di atas jalan.

Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan dilihat terus merempuh mangsa hingga menyebabkan lelaki itu terjatuh tersungkur.

Pemandu terbabit kemudian meninggalkan lokasi kejadian begitu sahaja, namun sempat meninggalkan pesanan ringkas sebelum beredar.

"Balai!," katanya ringkas kepada mangsa.

Mengulas mengenai kejadian itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden yang berlaku di hadapan sebuah pasar raya kira-kira pukul 6.38 petang Jumaat.

Siasatan awal mendapati kejadian ngeri tersebut sebenarnya tercetus akibat perselisihan faham berkaitan isu pinjaman wang antara kedua-dua pihak yang saling mengenali.

Akibat rempuhan itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 35 tahun mengalami patah kaki kanan.

Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya menahan tiga individu tempatan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 34 hingga 53 tahun bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas sebuah kereta Proton Saga yang digunakan dalam insiden itu dan kini sedang mengesan beberapa lagi individu lain yang dipercayai turut terbabit.

Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati kesemuanya negatif dadah, selain tiada rekod jenayah lampau direkodkan.

Mangsa yang segera dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan lanjut kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes kini disiasat pihak berkuasa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Artikel Lain