suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Mahu selesai semua masalah, Hadi yakin PN-BN terus berpaut lepas PRN Melaka

Hadi (depan, kanan) hadir bersama beberapa pemimpin PN bagi mengiringi urusan penamaan calon di Bukit Katil, Melaka pada Sabtu. -Foto Bernama

KERJASAMA politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dijangka berterusan walaupun selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hingga ke peringkat persekutuan.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kedua-dua gabungan itu komited untuk menyelesaikan perbezaan, menyelaraskan gerak kerja jentera pilihan raya serta memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

"Yang penting, kerjasama kita membawa kemenangan. Kita boleh menyelesaikan semua masalah melalui kerjasama dan pembahagian jentera antara kedua-dua pihak serta boleh dilaksanakan secara tersusun," katanya.

Hadi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada hari penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Bukit Katil di Dewan Tunku Ali, Melaka, pada Sabtu.

Mengulas mengenai usaha memperkukuh kerjasama selepas PRN Melaka, Abdul Hadi memberi bayangan bahawa hubungan politik antara kedua-dua gabungan itu akan diteruskan.

"Insya-Allah, ia akan berterusan. Kita menjangkakan keadaan akan menjadi lebih baik selepas memperoleh pengalaman di Johor, Negeri Sembilan dan kini, buat kali ketiga di Melaka," katanya.

Malah, Hadi turut memberi petunjuk bahawa kerjasama berkenaan tidak terhad kepada peringkat negeri, sebaliknya boleh diperluaskan ke peringkat Persekutuan.

Ditanya sama ada kerjasama serupa turut akan dilaksanakan di negeri lain termasuk Kelantan dan Terengganu, Abdul Hadi berkata, perkara itu juga dijangka diteruskan.

"Insya-Allah, akan ada kerjasama," tambahnya.

Pada Sabtu pagi, Hadi hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Tunku Ali, Bukit Katil bagi memberikan sokongan kepada calon PAS, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif yang bertanding di kerusi DUN berkenaan.

Ridzuan bakal berdepan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi DUN Bukit Katil apabila ditentang penyandang daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Adly Zahari, calon Bebas, Abu Bakar Sabudin dan calon Parti Bersama Malaysia, Dr Aliza Che Amran.

Untuk makluman, PRN Melaka kali ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November ini. -The Star

Artikel Lain