Empat calon yang bertanding bagi kerusi DUN Bukit Katil pada PRN Melaka (dari kiri) ialah penyandang, Adly Zahari, Ridzuan, Abu Bakar Sabudin dan Dr Aliza.
EMPAT calon disahkan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.Penyandangnya, Datuk Seri Adly Zahari, 55, menyifatkan persaingan kali ini sebagai cabaran getir buatnya yang berhasrat mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal ketiga berturut-turut.Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu tidak menafikan cabaran besar yang perlu dihadapi, terutamanya dengan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).“Ini kali ketiga saya bertanding dalam pilihan raya. Saya tidak nafikan ini antara cabaran paling sukar, terutamanya apabila BN dan PN bekerjasama.“Kita juga ada calon daripada Parti Bersama Malaysia dan calon Bebas. Saya tidak mengambil mudah cabaran daripada mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, pada Sabtu.Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan bekas Ketua Menteri Melaka akan ditentang wakil PAS mewakili PN, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, 42; calon Bebas, Abu Bakar Sabudin, 61; serta calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr Aliza Che Amran, 46.Pemimpin Amanah itu menambah, khidmat baktinya selama lapan tahun di Bukit Katil memberi ruang kepada pengundi untuk menilai sendiri rekod perkhidmatannya.Untuk rekod, Adly mula memenangi kerusi DUN Bukit Katil pada Pilihan Raya Umum 2018 sebelum mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti 1,057 undi. -The Star