suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Dolla ‘mendunia’ di Eropah, seronok jumpa peminat Paris

Dolla dianggotai oleh Tabby (kiri), Angel dan Sabronzo.

TAMPIL membuat persembahan buat pertama kali di Eropah membuka peluang buat kumpulan Dolla berkongsi dan memperkenalkan muzik mereka kepada peminat antarabangsa.

Bukan sekadar itu, bagi salah seorang anggotanya iaitu Angel, kemunculan mereka bersempena The A Music Festival di Paris, Perancis pada 24 Oktober lalu adalah pencapaian terbesar dalam perjalanan kerjaya mereka.

“Perasaan ini memang luar biasa dan peluang yang sangat bermakna buat kami.

Dolla cari peluang untuk lebarkan sayap ke Eropah. 

“Selepas enam tahun berusaha dan bekerja keras, akhirnya berpeluang membuat persembahan di pentas Eropah buat kali pertama terasa seperti satu pencapaian yang sangat besar. Saat ini pasti akan sentiasa kami kenang,” katanya.

Dalam acara berkenaan, Dolla menyampaikan 12 lagu termasuk karya terbaharu mereka berjudul Ugly.

Disaksikan kira-kira 2,000 penonton, persembahan Dolla juga mendapat sambutan luar biasa dan sekali gus memberi semangat baharu buat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ugly‘ bagai mesej peribadi Dolla berkongsi pengalaman pernah dihakimi 

ARTIKEL BERKAITAN: DOLLA kembali selepas 8 bulan rehat, gabung ikon rap Thailand tembusi Asia Tenggara

“Apa yang paling mengejutkan saya ialah kemesraan dan sokongan mereka yang begitu kuat.

“Tenaga mereka sangat menular sampai saya betul-betul tak mahu persembahan itu berakhir. Rasanya sangat istimewa apabila disambut dengan begitu mesra di tempat yang jauh dari rumah,” kongsi Sabronzo pula.

The A Music Festival merupakan acara selama dua hari yang menghimpunkan artis pop dari Asia Tenggara dan Korea Selatan, dengan Dolla tampil sebagai satu-satunya wakil Malaysia.

Dolla sempat bertemu peminat di Paris. 

Antara penyanyi lain yang turut tampil membuat persembahan ialah kumpulan JASP.ER, 4Eve dan Tobii dari Thailand, Trendz dan Jacob (Korea Selatan) serta Alamat (Filipina).

Kesempatan berada di sana, Dolla juga berpeluang bertemu kelab peminat iDolla Perancis serta beberapa kumpulan penari yang menginspirasikan lagu mereka.

“Mengetahui muzik kami telah sampai sejauh ini dan begitu dekat di hati orang ramai, sehingga mereka datang menonton persembahan, mempelajari koreografi kami, malah menyertai rakaman tarian dan pertemuan peminat di sekitar Paris, memang sesuatu yang luar biasa,” ujar Sabronzo.

Artikel Lain