Inisiatif ini dijalankan bagi mengurangkan masalah tanah perkuburan yang semakin terhad. -Facebook Jawi
KEKANGAN ruang tanah perkuburan mendorong Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) meneroka kaedah baharu dalam pengurusan pengebumian jenazah menerusi pelaksanaan kubur bertingkat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong, Kuala Lumpur.Menerusi hantaran dibuat di Facebook [Tonton Video] pada Rabu, Jawi menjelaskan inisiatif perintis itu dilaksanakan khusus bagi jenazah yang tidak mempunyai waris dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur. Menariknya, pelaksanaan tersebut turut memperkenalkan penggunaan mesin takal bagi membantu proses menurunkan jenazah ke kedalaman lapan kaki.Mesin berkenaan merupakan inovasi JKR Kuala Lumpur yang dibangunkan bagi memudahkan pengendalian jenazah sepanjang proses pengebumian, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan petugas yang terlibat.Selain itu, penghadang runtuhan tanah atau trench box turut digunakan bagi memastikan keselamatan struktur tanah sepanjang proses pengebumian dijalankan.Pelaksanaan kaedah berkenaan turut disaksikan Pengarah Jawi, Hanifuddin Roslan yang hadir bagi melihat sendiri proses pengebumian serta penggunaan mesin takal tersebut.Menurut Jawi, inisiatif kubur bertingkat itu merupakan antara usaha menambah baik pengurusan tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, khususnya dalam mengoptimumkan penggunaan ruang tanah yang semakin terhad.Penggunaan peralatan berinovasi itu juga diharap dapat memudahkan urusan pengebumian, selain membantu petugas menjalankan tanggungjawab dengan lebih cekap.Jawi turut berharap pelaksanaan projek perintis berkenaan menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan dalam pengurusan tanah perkuburan Islam di Wilayah Persekutuan.Usaha menaik taraf pengoperasian tanah perkuburan, termasuk meneroka penggunaan teknologi dan peralatan bersesuaian, akan terus diberi perhatian bagi memastikan penyampaian perkhidmatan jabatan dapat dilaksanakan dengan berkesan.Pada masa sama, Jawi menegaskan pengurusan jenazah perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tertib dan penghormatan, selaras dengan tuntutan syarak.