SEORANG wanita berkongsi pengalaman kurang menyenangkan apabila mendakwa peniaga menjual tong gas memasak bersubsidi pada harga RM28, melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.Menerusi perkongsian di media sosial, wanita itu menceritakan pengalamannya ketika membeli tong gas petroleum cecair (LPG) berkapasiti 14 kilogram (kg). Menurutnya, dia pada awalnya bertanyakan harga sebelum peniaga memaklumkan tong gas berkenaan dijual pada harga RM28.Bagaimanapun, wanita itu menegur harga berkenaan kerana mengetahui LPG 14kg merupakan barangan kawalan bersubsidi yang mempunyai harga maksimum RM26.60."Kita memang jual RM28," kata penjual berkenaan."Baik saya beli tapi saya mahu resit, tulis beli gas dengan harga yang dijual juga mesti ditulis," balas wanita tersebut.Peniaga itu kemudian memaklumkan mahu mendapatkan kepastian daripada majikannya sebelum akhirnya bersetuju menjual tong gas berkenaan pada harga RM26.60.Wanita itu mengingatkan kepada orang ramai supaya mengetahui hak mereka sebagai pengguna, khususnya ketika membeli barangan kawalan bersubsidi."Terus selesai, dapat RM26.60. Tak payah bertekak mulut, kita main sikit je," katanya.Sementara itu, berdasarkan maklumat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), harga maksimum runcit LPG bersubsidi yang ditetapkan kerajaan adalah RM19 bagi tong 10kg, RM22.80 (12kg) dan RM26.60 (14kg).Bagaimanapun, harga berkenaan tidak termasuk caj penghantaran.Harga maksimum jualan runcit LPG itu merupakan harga bersubsidi dan harga kawalan yang diwartakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan 2015.