KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) membuka peluang kepada pegawai perubatan lantikan kontrak untuk mengisi 750 jawatan tetap Gred UD10 di Sabah dan Sarawak menerusi pengambilan khas fasa pertama yang akan dibuka selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November depan.Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Madani untuk melaksanakan pelantikan tetap membabitkan lebih 9,000 pegawai perubatan seperti diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2027 baru-baru ini. KKM menerusi kenyataan memaklumkan, langkah berkenaan bertujuan merapatkan jurang pengisian perjawatan serta memastikan keperluan tenaga perubatan di Sabah dan Sarawak dapat dipenuhi secara optimum."Permohonan dibuka kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak yang menjalani latihan siswazah bermula Siri 1/2016 pada 5 Disember 2016 hingga Siri 6/2024 pada 14 Oktober 2024, termasuk pegawai yang telah tamat kontrak perkhidmatan dengan KKM."Calon yang berminat perlu memenuhi syarat kelayakan, termasuk menamatkan latihan siswazah dengan jayanya serta berdaftar penuh dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) selewat-lewatnya pada tarikh tutup permohonan," kata kenyataan itu pada Khamis.Menurut KKM, pegawai yang berjaya dalam urusan pelantikan tetap itu dicadangkan melapor diri pada 15 Februari 2027."Sehubungan itu, KKM menggalakkan semua Pegawai Perubatan yang memenuhi syarat, berminat dan bersedia untuk berkhidmat di kedua-dua negeri berkenaan supaya mengemukakan permohonan menerusi sistem SPA9 kendalian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)," katanya.KKM menegaskan, hanya permohonan rasmi yang dikemukakan melalui portal SPA9 dalam tempoh iklan dibuka akan dipertimbangkan bagi urusan pelantikan tersebut.