suria

Gen Z kerumun Roslan Shah, tak sangka masih berbisa di usia 55 tahun... "Dahulu saya dihina dan dikeji"

Roslan Shah diterima baik oleh peminat generasi muda.

MENITI usia 55 tahun, pengacara popular, Roslan Shah meluahkan rasa syukur apabila namanya kembali meraih perhatian ramai selepas bertahun-tahun bergiat aktif dalam industri seni.

Kini menerajui program Night Walk terbitan Mangobossku yang disiarkan di YouTube MBK Film Studios, selebriti kelahiran Singapura itu mengakui terharu apabila penonton menerima kehadirannya dalam industrI hiburan.

“Saya baru sahaja menyambut ulang tahun yang ke-55. Saya terharu apabila dikenali di usia sekarang dan menganggap ia rezeki Allah.

Roslan Shah memeriahkan sebuah acara di UPSI baru-baru ini. 

“Sebenarnya, saya banyak bersabar. Saya tahu segelintir orang tak sukakan kita. Apabila tahun 2025 nama saya melonjak naik kerana program Night Walk, saya rasa memang terharu orang terima saya.

“Ramai beri respons suka lawak spontan saya, mereka suka cara saya yang tersendiri. Sebab itu mereka boleh terima saya seadanya,” katanya.

Selain sibuk dengan rakaman program tersebut, Roslan turut diundang ke pelbagai acara termasuk membuat persembahan di universiti sempena musim konvokesyen menerusi program Pesta Bintang Stardust.

ARTIKEL BERKAITAN: Roslan Shah tak sangka makin popular, pengikut TikTok naik mendadak

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada niat nak peluk, Roslan Shah akui tak sekufu dengan Vida... “Saya takut nak kahwin dengan dia sebab kekayaan kami tidak sama”

Baru-baru ini, Roslan membuat penampilan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, Kedah serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak.

Penyanyi lagu Hantu Hantu Hantu itu tidak menyangka dirinya masih mendapat sambutan luar biasa terutama daripada golongan muda.

“Saya terharu, ada peminat muda menjerit teruja melihat saya. Saya kena kerumun dengan peminat muda dari golongan Gen Z. Betul ke saya ni Roslan Shah? Tahun 2025 ini dapat banyak sangat rezeki sedangkan dahulu saya dikutuk, dihina dan dikeji.

Roslan Shah ikhlas mencari rezeki dan tidak menyangka dikenali ramai tahun ini.

“Sebelum ini, ada mulut puaka yang mengatakan saya sudah sendu dan tak popular. Tapi saya tak cari populariti. Saya ikhlas bekerja dan apabila dikenali, saya rasakan ia sebagai rezeki Allah.

"Alhamdulillah tawaran demi tawaran saya terima. Jadual saya penuh hingga hujung tahun ini. Ini semua berkat saya menjaga arwah ibu saya ketika dia masih hidup dahulu,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Roslan sedang aktif mempromosikan single terbaharunya berjudul Hantu Hantu Hantu, hasil ciptaan Adi 6ixth Sense dan Emma Rockers.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain