SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah membunuh isterinya dan menyembunyikan mayat mangsa di dalam sebuah tong selama lebih 13 tahun.Berdasarkan laporan, Mahkamah Daerah Saitama di Jepun memutuskan bahawa tertuduh, Hitoshi Hoya, 51, membunuh isterinya, Yoshiharu, 39, di kediaman mereka di bandar Tokorozawa, wilayah Saitama pada 17 Julai 2011. Menerusi kertas pertuduhan, lelaki itu memukul kepala mangsa sebanyak dua kali menggunakan besi pengungkit sehingga menyebabkan tengkoraknya pecah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.Selepas kejadian, tertuduh dipercayai menyimpan mayat isterinya di dalam sebuah tong sebelum meninggalkannya di sebuah fasiliti penyimpanan bermula pertengahan September 2011 hingga April 2025.Jenayah yang dilakukan terbongkar apabila syarikat pengurusan fasiliti meminta sebuah syarikat kitar semula mengambil tong berkenaan susulan bayaran sewaan yang tertunggak pada 17 April 2025. Tindakan seorang pekerja yang membuka tong itu pada keesokan harinya menemukan mayat mangsa.Siasatan polis wilayah kemudian menjejaki pemilik kontrak stor simpanan berkenaan, sekali gus membawa kepada penahanan Hoya sebagai suspek utama.Dalam pembelaannya, tertuduh mendakwa dia sering menjadi mangsa penderaan fizikal dan lisan oleh isterinya yang dikatakan sukar mengawal kemarahan. Pada hari kejadian, dia mengaku bertindak demikian kerana mahu menamatkan masalah yang dialami. -Agensi