SEORANG wanita warga emas ditahan polis selepas disyaki membunuh anak perempuannya yang terlantar sakit dengan cara menenggelamkan mangsa di dalam bekas berisi air.Kejadian dilaporkan berlaku di bandar Mobara, Chiba di Jepun. Suspek, Chieko Saito, 58, ditahan atas dakwaan membunuh anaknya, Kana, 29, pada awal pagi 8 Mac lalu.Menurut polis, wanita itu dipercayai memasukkan kepala mangsa ke dalam sebuah bekas pakaian yang dipenuhi air sehingga menyebabkan kematian.Kejadian terbongkar selepas seorang jiran menghubungi talian kecemasan kira-kira pukul 6.12 pagi selepas menerima panggilan daripada suspek yang memaklumkan sesuatu perkara buruk telah berlaku dan meminta dia datang ke rumah.Jiran tersebut memberitahu polis bahawa sebaik memasuki rumah, dia melihat Saito duduk di penjuru bilik dalam keadaan seluruh badan basah.Ujarnya, suspek yang sedang menangis dan menggigil mengaku membunuh anaknya.Selepas menemui mayat mangsa, lelaki itu segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.Siasatan mendapati Kana merupakan individu terlantar akibat kecacatan fizikal kongenital yang serius sehingga menyebabkannya sukar bergerak dan bertutur.Menurut polis, suspek mengaku bertindak demikian kerana berasa pesimis mengenai masa depan anaknya serta bimbang nasib mangsa sekiranya dia meninggal dunia terlebih dahulu.Wanita itu juga mengatakan dia tidak berniat membiarkan anaknya mati bersendirian dan merancang untuk mengakhiri hidup bersama, namun gagal melakukannya. -Agensi