KEINGINAN untuk menyambut Syawal dengan pakaian baharu mendorong seorang wanita berusia 22 tahun mencuri wang tunai di sebuah pasar mini.Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah pasar mini di Jalan Soksi, Desa Tanah Sereal di Indonesia pada Selasa. Ketua Siasatan Jenayah Polis Tambora, AKP Sudrajat, berkata suspek pada awalnya menyamar sebagai pelanggan dan berpura-pura membeli barangan bagi mengalih perhatian pekerja kedai."Suspek meminta sekotak mi segera dan beberapa minuman herba sebelum menambah pesanan lain serta bertanyakan mengenai kandungan kad TapCash agar pekerja menjadi semakin sibuk."Dia turut memesan sejumlah besar barangan sehingga pekerja perlu berulang-alik ke gudang untuk mengambil stok," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Ujarnya, kesibukan pekerja itu membuatkan suspek mengambil kesempatan untuk menghampiri kaunter juruwang sebelum membuka laci mesin daftar tunai dan mengambil duit."Daripada tindakan tersebut, suspek berjaya melarikan wang tunai sebanyak Rp2.6 juta (kira-kira RM604)," katanya.Bagaimanapun, tindakannya itu mendapat perhatian salah seorang pekerja di premis berkenaan.Perasaan curiga selepas melihat pergerakan tangan suspek di dalam laci wang membuatkan individu terbabit meminta bantuan rakan sekerja untuk menahannya.Suspek kemudian diperiksa di lokasi kejadian sebelum pihak polis dipanggil.Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku melakukan perbuatan sama kira-kira lima kali di sekitar Jakarta Barat dan Jakarta Utara.Malah katanya, suspek sebelum ini pernah ditahan pekerja pasar mini di Pademangan, Jakarta Utara, namun tidak didakwa selepas pihak kedai berasa kasihan terhadapnya."Siasatan mendapati suspek mencuri atas faktor kewangan dan mengaku memerlukan wang untuk membeli pakaian baharu serta memenuhi keperluan menjelang Aidilfitri," katanya. -Agensi