SEORANG hos penginapan jangka pendek menerusi platform Airbnb mencetuskan kontroversi selepas menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang tetamu bersama wanita lain kepada isteri lelaki itu.Ia dipercayai sebagai tindak balas terhadap ulasan negatif yang ditinggalkan pelanggan berkenaan. Menurut laporan, tetamu tersebut dikatakan memberikan ulasan kurang memuaskan selepas daftar keluar dari penginapan berkenaan, melibatkan beberapa isu kecil sepanjang tempoh penginapan.Namun, keadaan bertukar kecoh apabila hos terbabit didakwa bertindak di luar jangkaan dengan menghantar rakaman CCTV yang menunjukkan lelaki itu memasuki premis bersama seorang wanita yang bukan isterinya.Rakaman tersebut dipercayai dihantar terus kepada isteri lelaki berkenaan tanpa sebarang penjelasan atau amaran, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa tindakan itu dilakukan sebagai balasan terhadap ulasan buruk diterima.Insiden itu segera mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial dengan ada yang mengkritik tindakan tuan rumah kerana didakwa menyalahgunakan kamera keselamatan serta melanggar privasi tetamu.Namun, tidak kurang juga yang menyifatkan tindakan itu sebagai padah kepada pelanggan yang meninggalkan ulasan negatif.Pakar undang-undang yang turut memberi pandangan dalam talian mengingatkan bahawa penggunaan rakaman keselamatan oleh hos penginapan tertakluk kepada peraturan ketat, dan tindakan sedemikian berpotensi mengundang implikasi undang-undang.Walaupun kesahihan penuh kejadian masih belum disahkan, ramai netizen menyifatkan situasi itu sebagai ironi apabila ulasan buruk yang bertujuan menjejaskan reputasi hos didakwa akhirnya menjejaskan rumah tangga pelanggan sendiri.-Agensi