suria

Wanita ‘hilang’ bersama BMW sewa... Syarikat ‘car rental’ jejak sampai depan rumah tapi tak jumpa

Kereta BMW yang disewa seorang wanita gagal dipulangkan. -Gambar Facebook

SEORANG wanita diburu syarikat perkhidmatan sewa kenderaan selepas gagal memulangkan sebuah kereta BMW selain tidak membuat bayaran sewaan selama lebih seminggu.

Menurut syarikat Kem Auto Leasing & Car Rental, wanita berkenaan mengambil kereta sedan BMW itu pada 27 Januari lalu dengan perjanjian bayaran sewa dibuat secara harian.

Namun, bayaran didakwa terhenti secara tiba-tiba pada 26 Februari tanpa kereta tersebut dipulangkan.

Difahamkan, wanita tersebut merupakan pelanggan tetap selama dua tahun dan sering menyewa kereta setiap satu atau dua bulan tanpa sebarang masalah.

Oleh yang demikian syarikat yang beroperasi di Singapura itu mempercayainya sehingga kenderaan berkenaan tidak dipasang sistem penjejak GPS.

Pemilik syarikat, dikenali sebagai Kwan, berkata kadar sewaan kenderaan itu adalah sekitar S$90 (RM353) sehari.

Menurut Kwan, pada pertengahan Februari lalu pelanggan itu mula lewat membuat bayaran antara tiga hingga empat hari dan memaklumkan mengalami masalah kewangan kerana ibu bapanya dimasukkan ke hospital.

“Disebabkan rekodnya yang baik sebelum ini, kami tidak terlalu curiga,” katanya.

Bagaimanapun, kelewatan bayaran semakin berlarutan sehingga lebih seminggu, selain wanita itu didakwa memberi pelbagai alasan apabila diminta memulangkan kereta.

Sehinggalah pada Jumaat, 6 Mac, pelanggan berkenaan meminta pihak syarikat mengambil kenderaan tersebut di Hospital Besar Singapura (SGH), namun gagal muncul walaupun beberapa kali memaklumkan dia sedang dalam perjalanan.

Berikutan itu, syarikat terbabit memuat naik hantaran di Facebook bagi meminta bantuan orang ramai mengesan wanita berkenaan.

Dia kemudian berjanji untuk memulangkan kereta bersama bayaran tertunggak pada Isnin, namun sekali lagi tidak hadir seperti dijanjikan.

Justeru pada Selasa, pasukan syarikat turut pergi ke alamat rumah yang diberikan dalam perjanjian sewaan, tetapi wanita tersebut dilaporkan tiada di rumah dan tidak pulang sejak dua hari sebelumnya.

Setakat ini, syarikat masih mempertimbangkan tindakan seterusnya termasuk menggunakan khidmat syarikat pengambilan semula kenderaan, manakala laporan polis belum dibuat.-Agensi

Artikel Lain