suria

Lepas sebulan isteri lari rumah, lelaki pukul anak umur 3 tahun sampai mati... Tak tahan asyik menangis, merengek cari ibu

Kanak-kanak sering menjadi mangsa pergaduhan ibu dan ayahnya. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki tergamak memukul anak lelakinya sehingga maut selepas kanak-kanak terbabit sering menangis mencari ibunya.

Kejadian tragis itu dilaporkan berlaku di Desa Kemangsen, Sidoarjo di Indonesia.

Berdasarkan laporan, mangsa yang berusia tiga tahun meninggal dunia selepas didakwa dipukul bapanya.

Ketua Polis Balongbendo, Kompol Sugeng Sulistiyono berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas penduduk kampung mendapati jenazah mangsa mempunyai banyak kesan lebam.

Ujarnya, rasa curiga tersebut mendorong penduduk kampung membuat laporan polis pada Jumaat.

"Mangsa mengalami lebam di beberapa bahagian badan termasuk dahi, bibir, dada, perut dan paha.

"Suspek didakwa memukul mangsa menggunakan tangan bermula 5 Mac lalu.

"Mangsa sempat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami sawan, namun dia tidak dapat diselamatkan," ujarnya.

Tambah beliau, suspek kemudian ditahan susulan laporan bedah siasat yang mengesahkan terdapat unsur penderaan pada mayat mangsa.

Malah kata Sugeng, isteri suspek meninggalkan rumah sejak empat minggu lalu, disebabkan sikap panas barannya.

Keadaan yang berlaku itu menyebabkan dia terpaksa menjaga dan menguruskan anaknya sendirian.

"Pelaku melakukan kekerasan fizikal terhadap anaknya bermula daripada masalah rumah tangga yang dialami. 

"Dia merasakan anaknya sebagai beban dan mengalami tekanan," katanya.

Situasi lebih merunsingkan apabila mangsa didakwa sering menangis dan mencari ibunya setiap hari.

"Mangsa didakwa kerap merengek mencari ibunya, walaupun sudah dipujuk, dia terus menangis sebelum pelaku bertindak memukul mangsa hingga menyebabkan kematian," jelas Rohmawati. -Agensi

Artikel Lain