suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tiada ahli K-Clique hubungi Tuju selepas isu royalti dibangkitkan, pintu rundingan masih dibuka

Tuju (kiri) mahu menuntut royalti yang tertunggak hasil karya bersama K-Clique.

BEKAS anggota kumpulan K-Clique, Tuju berharap isu tunggakan royalti membabitkan karya ciptaannya dapat diselesaikan secara baik meskipun sehingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas daripada ahli kumpulan itu.

Tuju atau Mohd Azree Shah Awang Zamree, 30, berkata dia masih memberi ruang kepada pihak berkenaan untuk berbincang secara matang dan tenang bagi mencari jalan penyelesaian terhadap perkara yang berlarutan sejak empat tahun lalu.

Menurut Tuju, tindakan membawa perkara itu ke media sosial serta menyuarakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang dilakukan selepas usaha mendapatkan penyelesaian secara langsung tidak membuahkan hasil.

"Selepas saya memaklumkan hasrat untuk mengambil jalan undang-undang dan berkongsi perkara ini di media sosial, setakat ini tiada ahli kumpulan yang menghubungi saya untuk menyelesaikannya.

"Saya masih terbuka untuk berbincang secara matang dan tenang. Apa yang saya mahukan ialah pihak berkenaan mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan bayaran royalti yang tertunggak mengikut persetujuan.

Tuju masih membuka ruang untuk berbincang secara baik dengan anggota K-Clique.

"Saya berkongsi perkara ini selepas usaha mendapatkan penyelesaian secara langsung tidak membuahkan hasil. Saya berharap pengalaman ini turut memberi kesedaran tentang kepentingan ketelusan dan tanggungjawab dalam pembayaran royalti kepada anak seni," katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Tuju menjelaskan dia mengambil keputusan meninggalkan K-Clique pada awal tahun 2022 dan beberapa kali meminta pihak pengedar mengeluarkan namanya daripada kontrak pengedaran yang dirancang untuk diteruskan oleh kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pihak pengedar memaklumkan bahawa mereka sudah menghantar e-mel kepada K-Clique dan memerlukan kumpulan itu sendiri mengemukakan permintaan bagi mengeluarkan namanya daripada kontrak berkenaan.

"Saya mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan pada awal 2022. Pada waktu itu, saya juga beberapa kali memaklumkan kepada pihak pengedar supaya nama saya dikeluarkan daripada kontrak pengedaran yang dirancang untuk diteruskan oleh mereka. 

"Pihak pengedar memaklumkan bahawa mereka telah menghantar e-mel kepada K-Clique dan memerlukan pihak K-Clique sendiri mengemukakan permintaan untuk mengeluarkan nama saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuju hantar notis tuntut royalti tertunggak empat tahun, ahli K-Clique lain masih kunci mulut

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tiada istilah dibuang, Tuju mengaku ada salah faham dengan K-Clique... Tak mungkin kembali bersama

"Namun, pada 3 Julai 2026, saya mendapat tahu bahawa nama saya masih berada dalam kontrak tersebut. Perkara itu mengecewakan kerana selama ini saya percaya permintaan saya telah diuruskan dengan sewajarnya," jelasnya.

Mengulas lanjut, Tuju menegaskan dia turut berusaha menghubungi ahli kumpulan K-Clique bagi mendapatkan kerjasama berhubung tunggakan royalti tersebut.

Kongsinya, pada 4 Februari lalu dia menghubungi salah seorang anggota, FareedPF dan menghantar e-mel untuk membincangkan perkara tersebut. 

"Saya telah berusaha mendapatkan kerjasama mereka. Pada 4 Februari 2026, saya menghubungi FareedPF dan turut menghantar e-mel ke alamat rasmi pasukan K-Clique berhubung tunggakan royalti tersebut.

"Fareed memberikan respons dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama serta mencadangkan penyelesaian. Namun, pada pandangan saya, cadangan itu belum menjawab isu yang saya bangkitkan.

"Saya kekal terbuka untuk berbincang, tetapi komunikasi selepas itu tidak diteruskan. Saya turut menghubungi setiap ahli secara individu dengan penjelasan yang sama, namun masih tidak menerima maklum balas," katanya. 

Perkongsian yang dimuat naik di Threads sebelum ini. 

Sebelum ini, Tuju memberi gambaran bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap K-Clique berhubung isu royalti lagu ciptaannya yang didakwa masih tertunggak. 

Penyanyi rap berkenaan turut berkongsi tangkap layer yang menunjukkan mesej sudah dihantar kepada semua anggota K-Clique pada 1 Jun lalu.

Pada akhir 2022, timbul spekulasi mengenai tindakan Tuju meninggalkan K-Clique, namun penyanyi rap itu memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai tindakan itu.

Selepas hampir dua tahun, Tuju akhirnya menjelaskan keputusan untuk bergerak solo dibuat atas kehendaknya sendiri.

Selain Tuju dan FareedPF, K-Clique turut dianggotai MK, Noki, Somean, KDeaf, Gnello dan NastyNas.

Artikel Lain