suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Aina Abdul mohon maaf jika pencapaian Eurovision Song Contest kecewakan Malaysia

Aina sudah buat yang terbaik untuk mengharumkan nama Malaysia.

PENYANYI Aina Abdul memohon maaf kepada semua sekiranya pencapaiannya pada Eurovision Song Contest Asia 2026 mengecewakan peminat dan rakyat Malaysia.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 33, bagaimanapun menegaskan dia sudah memberikan segala-galanya dan melakukan yang terbaik sepanjang menyertai pertandingan berprestij itu.

Menurut Aina, pengalaman tersebut menjadi antara perjalanan paling bermakna dalam kerjaya seninya kerana banyak perkara baharu yang dipelajari dan dilalui sendiri.

Aina membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

"Saya minta maaf sekiranya mengecewakan anda semua. Saya yakin kami sudah melakukan yang terbaik dan saya juga sudah memberikan segala-galanya.

"Namun, ini antara perjalanan terbaik dalam kerjaya saya kerana pengalaman ini tidak pernah ada dalam buku atau mana-mana panduan. Saya perlu melaluinya sendiri," katanya.

Aina berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Threads milik TV3. 

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul raih tempat keempat Eurovision Asia 2026, Filipina muncul juara

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul rayu sokongan rakyat Malaysia di Eurovision Asia, tak kisah minat atau tidak

Dalam pada itu, penyanyi berkenaan turut menjelaskan bahawa air mata yang mengalir selepas pertandingan bukan tanda dirinya tewas atau tidak mampu menerima keputusan, sebaliknya luahan emosi selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang pertandingan.

"Walaupun saya mengalirkan air mata, bukan bermakna saya kalah dengan diri sendiri. Itu cuma emosi selepas segala-galanya selesai.

"Saya tahu diri saya. Saya cuma perlukan beberapa jam, mungkin sehari atau beberapa hari. Selepas itu, saya akan baik-baik sahaja," ujarnya.

Mengulas lanjut, Aina turut menyifatkan sokongan yang diterima daripada peminat sebagai sesuatu yang lebih bermakna berbanding kemenangan semata-mata.

"Walaupun tidak menang, tapi kita sudah memenangi hati masing-masing dan itu paling penting.

"Terima kasih dari lubuk hati saya atas segala sokongan. Saya sayangkan anda semua," katanya.

Aina menganggap penyertaan di Eurovision Asia satu pengalaman bermakna.

Terdahulu, Aina berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila menduduki tempat keempat pada pertandingan yang berlangsung pada malam Sabtu.

Aina mempertaruhkan lagu berjudul Bluest Sky pada edisi sulung pertandingan itu yang berlangsung di One Bangkok Forum, Bangkok, Thailand.

Gelaran juara Eurovision Song Contest Asia 2026 menjadi milik wakil Filipina, Carmelle Allyza Collado.

 

Artikel Lain