DI media sosial, kita sering disajikan dengan pelbagai rakaman tular memaparkan gelagat mencuit hati si bulus, sama ada ketika bermain sendirian mahupun melayan kerenah pemiliknya.Terbaharu, tular satu klip video pendek menunjukkan seekor kucing yang sedang leka memerhatikan seekor ular menyusur perlahan di bawah tayar kereta sebelum disergah dari arah belakang oleh tuannya. Tindakan spontan itu menyebabkan si manja terkejut sehingga melompat tinggi ke udara dalam keadaan tubuhnya mengeras kaku, sebelum mendarat kembali di atas tanah dan terus melangkah pergi seolah-olah tiada apa yang berlaku.Namun, di sebalik gelak tawa warga maya melihat aksi melatah comel berkenaan, timbul pula persoalan mengenai kesan perbuatan menyakat sedemikian terhadap tahap kesihatan haiwan terbabit."Haha nasib member tak ada sakit jantung... tapi kucing ada sakit jantung juga ke ek?" soal pemilik video berkenaan di aplikasi Threads.Persoalan yang pada mulanya disangka sekadar gurauan kosong itu bagaimanapun menarik perhatian seorang pengguna lain yang tampil berkongsi fakta bahawa kucing sebenarnya tidak terkecuali daripada berdepan ancaman penyakit berbahaya tersebut.Malah menurut wanita itu, penyakit jantung merupakan antara ‘pembunuh senyap’ bagi kucing kerana gejalanya sering kali terlepas daripada pandangan pemilik dan hanya disedari apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal.Tangkap layar video tular memaparkan telatah seekor kucing yang disergah oleh tuannya. -Threads"Sebenarnya ya, kucing boleh dapat sakit jantung dan ia antara pembunuh senyap bagi kucing," jelasnya.Bagi membantu orang ramai mengesan masalah itu lebih awal, dia berkongsi beberapa petanda amaran yang tidak wajar diabaikan seperti kucing mula bernafas tercungap-cungap, mengalami kelumpuhan pada kaki belakang, kurang aktif serta cepat letih.Selain itu, perubahan tingkah laku seperti kerap tidur, hilang selera makan dan rebah atau pengsan secara tiba-tiba tanpa sebarang punca jelas turut menjadi petanda penting haiwan berkenaan sedang mengalami masalah kesihatan serius.Mengulas lanjut, beliau memaklumkan keadaan yang paling lazim menyerang si bulus dikenali sebagai Hypertrophic Cardiomyopathy (HCM).Penyakit ini berpunca daripada penebalan abnormal pada dinding otot jantung, sekali gus menjejaskan keupayaan organ tersebut untuk mengepam darah dengan lancar ke seluruh badan.Tambah pengguna itu lagi, beberapa baka popular seperti Ragdoll, Maine Coon, British Shorthair dan Persian mempunyai risiko genetik yang jauh lebih tinggi untuk menghidap HCM berbanding baka domestik atau kucing kampung."Kucing domestik pun boleh dapat, tetapi risikonya tidak setinggi baka-baka tersebut," ujarnya.