Kapal kargo berkenaan merempuh benteng sehingga menyebabkan konkrit di kawasan berkenaan bertaburan dalam kejadian di Lumut, Perak.
SEBUAH kapal kargo merempuh benteng di kawasan persisiran pantai di Lumut, Perak pada Isnin pagi mengejutkan orang ramai selepas rakaman insiden tersebut tular di media sosial.Insiden dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi itu mengakibatkan beberapa bahagian struktur konkrit dan laluan pejalan kaki berhampiran mengalami kerosakan. Menerusi rakaman yang dikongsikan pengguna Threads, Zhoushieng Aman, kargo itu dilihat berada terlalu hampir dengan kawasan daratan sebelum bahagian hadapannya merempuh benteng berkenaan."Kejadian baru berlaku dekat Lumut hari ini," tulisnya pada kapsyen pada video berkenaan.Rakaman [Tonton Video] tersebut turut memperlihatkan beberapa bahagian benteng konkrit pecah dan runtuh dipercayai akibat rempuhan kapal berkenaan.Malah, serpihan konkrit dilihat bertaburan di atas laluan pejalan kaki berhampiran kawasan riadah itu.Kejadian berkenaan mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa terkejut melihat kedudukan kapal begitu hampir dengan kawasan daratan.Ada juga warganet bersyukur kerana insiden itu tidak melibatkan orang awam yang mungkin sedang menggunakan kemudahan riadah di kawasan berkenaan.Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung punca kejadian, jumlah kerosakan atau kemungkinan mangsa yang terlibat.