NIAT seorang wanita berusia 62 tahun mendapatkan khidmat urut di rumahnya bertukar menjadi pengalaman pahit apabila barang kemas seberat 14 gram miliknya dilarikan. Dalam kejadian pada 2 November lalu, mangsa sedang diurut di rumahnya di Harjamukti, Cimanggis di Depok, Indonesia apabila individu yang menawarkan perkhidmatan itu meminta dia menanggalkan barang kemas dengan alasan ia mengganggu sesi urutan.Mangsa yang akur dengan permintaan tersebut kemudiannya menanggalkan setiap utas barang kemas di tubuh.Menurut polis, suspek kemudian mengambil barang kemas berkenaan ketika wanita itu sedang leka sebelum melarikan diri.Terkejut dengan situasi yang berlaku, mangsa kemudiannya membuat laporan polis.Berdasarkan laporan, nilai kerugian dianggarkan sekitar 27 juta rupiah (kira-kira RM6,050).Susulan laporan itu, polis menahan lima suspek di kawasan Beji, Depok. Tangkapan membabitkan tiga lelaki dan dua wanita itu dilaporkan pada 13 November lalu.Menurut jurucakap polis Depok, Hendra Kurniawan, setiap suspek dipercayai mempunyai peranan berbeza, termasuk menyamar sebagai tukang urut, mengambil barang kemas dan memandu kenderaan untuk menghantar serta menjemput anggota kumpulan terbabit.Polis turut merampas sebuah Honda Brio berwarna kuning sebagai barang bukti.Hendra berkata, suspek pada mulanya mendakwa mereka baru sekali menggunakan modus operandi tersebut. Bagaimanapun, selepas disoal siasat, mereka mengaku sudah melakukan kegiatan itu sebanyak tiga kali di sekitar Depok. -Agensi