MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Isnin.Peletakan jawatan itu disahkan Barisan Nasional (BN) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir. Menurut Zambry, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sudah menerima salinan surat bertarikh 16 November yang diutuskan kepada Tuanku Muhriz.BN katanya menghormati keputusan Ismail dan merakamkan penghargaan atas khidmat baktinya sepanjang menerajui pentadbiran negeri itu."BN berharap keputusan ini dapat membuka lembaran baharu bagi memulihkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan lancar."BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur, dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri serta perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan," katanya pada Isnin.Zambry turut memaklumkan bahawa Ahmad Zahid akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar baharu untuk dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz.Cadangan itu akan dikemukakan selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.Untuk rekod, kemelut pentadbiran Negeri Sembilan berlarutan sejak April susulan pertikaian dalam institusi adat yang kemudian melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz. Krisis itu turut menyaksikan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebelum DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan pada 1 Ogos. Ismail kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar sehari selepas BN dan PN memperoleh 25 daripada 36 kerusi DUN. Pada Sabtu lalu, beliau mengesahkan penarikan balik kandungan surat terdahulu kepada Raja-Raja Melayu berhubung kedudukan Tuanku Muhriz. Sementara itu, Mahkamah Tinggi Seremban menangguhkan prosiding saman membabitkan 10 bekas Exco negeri pada 18 November bagi memberi ruang kepada rundingan penyelesaian.