AKTIVITI mencari katak dan menangkap ikan bersama keluarga bertukar cemas apabila seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera parah terkena tembakan di Kampung Tinanom, Ranau, Sabah. Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam Sabtu lalu, mangsa mengalami kira-kira 13 luka akibat terkena butir peluru di beberapa bahagian badan.Tembakan itu dipercayai dilepaskan menggunakan senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai bakakuk.Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati suspek keluar memburu seorang diri dengan membawa bakakuk sebelum menyusuri kawasan Sungai Keliu.Menurutnya, suspek terlihat cahaya yang disangkanya mata pelanduk lalu melepaskan satu das tembakan. Susulan tindakannya itu, dia terdengar jeritan sebelum menyedari tembakan itu mengenai remaja berkenaan.Mangsa kemudiannya dibawa pulang ke kampung sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Paginatan dan seterusnya ke Hospital Daerah Ranau. Keadaan kecederaan yang dialami membuatkan mangsa dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth pada lewat malam Sabtu untuk rawatan lanjut.Tambah Mursalin, pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan, termasuk patah pergelangan tangan kiri, dan memerlukan pembedahan.Susulan kejadian itu, katanya, polis menahan seorang petani berusia 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa pada kira-kira pukul 1.30 petang Ahad bagi membantu siasatan.Polis masih mencari bakakuk yang dipercayai dibuang suspek di dalam hutan selepas kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan kecederaan secara menyalahi undang-undang dan Seksyen 8(a) akta sama kerana memiliki senjata api secara haram. -The Star