Terdapat banyak kes yang mana pembahagian harta pusaka masih tidak selesai dan terus berlarutan meskipun ahli keluarga sudah meninggal lama. -Gambar hiasan AI
BANYAK kes urusan pembahagian harta pusaka memakan masa bertahun-tahun dan waris pastinya menjadi pihak paling terkesan akibat proses yang tergantung tanpa kesudahan.Biasanya waris akan meletakkan kesalahan itu kepada badan bertanggungjawab menguruskan hal tersebut tanpa mengetahui ada perkara lain menjadi penyebab kepada kelewatan proses tersebut. Masalah sebenarnya datang daripada pentadbir pusaka yang diamanahkan untuk menguruskan proses pembahagian sesuatu harta tersebut.Lebih rumit apabila pentadbir yang dilantik itu adalah dalam kalangan waris itu sendiri kononnya lebih dipercayai dan akan memudahkan proses pembahagian harta.Menurut perkongsian seorang pengguna Threads, Ahmad Mujahid mendakwa banyak kes yang mana pentadbir culas dan lebih parah enggan membahagikan harta pusaka kepada waris terlibat."Apabila seseorang itu meninggal dunia, biasanya seorang waris akan dilantik sebagai pentadbir pusaka."Ia bukan bermaksud sudah jadi pentadbir, harta itu menjadi miliknya."Sebaliknya pentadbir ada tanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka dan melaksanakan proses pembahagiannya kepada pihak yang berhak seperti waris," jelasnya.Ahmad Mujahid turut menyenaraikan empat tanda utama untuk waris atau ahli keluarga menukar pentadbir harta pusaka.1. Sengaja melengah-lengahkan proses pembahagian harta. Pentadbir sepatutnya bertindak tangkas menyelesaikan urusan pengagihan sebaik sahaja urusan hutang si mati diselesaikan. Kelewatan yang sengaja dicetuskan tanpa alasan munasabah hanya akan menafikan hak waris lain yang mungkin sedang sangat memerlukan.2. Menjadi punca berlakunya konflik dan perbalahan sesama waris. Ketidakcekapan atau sikap berat sebelah pentadbir sering kali menjadi api dalam sekam yang meretakkan hubungan silaturahim kekeluargaan.Apabila komunikasi mula disekat dan suasana bertukar tegang, pertukaran pentadbir baharu adalah jalan terbaik demi penyelesaian lebih baik.3. Mempunyai kepentingan peribadi yang menyekat urusan pusaka. Gejala pecah amanah boleh dikesan apabila pentadbir mula menggunakan atau memanipulasi aset peninggalan demi keuntungan diri sendiri. 4. Gagal melaksanakan tanggungjawab asas sebagai pemegang amanah. Apabila pentadbir terus culas, tidak telus, dan langsung tidak mempedulikan kebajikan waris yang berhak, tindakan undang-undang perlu diambil segera.Menurut Ahmad Mujahid, sekiranya waris berdepan dengan mana-mana antara empat masalah di atas, mereka sepatutnya boleh memohon memulakan tindakan perundangan terhadap pentadbir yang dilantik."Jadi kalau keadaan macam ini berlaku, waris bukan bermaksud kena tunggu selama-lamanya," ujarnya yang turut menggariskan tindakan boleh dibuat antara lain di bawah Seksyen 17, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98].Ujarnya, akta tersebut juga boleh digunakan bagi tujuan melantik pentadbir baharu.